27 JANUARI 2009
1) Saya dan keluarga menjejaki Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada waktu malam kerana ingin melihat keindahannya, yang berwarna-warni. Kubahnya disinari cahaya pelbagai warna, mengasyikkan sekali. Saya ke situ sebanyak dua kali, pada 27 Januari (malam) dan 28 Januari (siang).
2) Sampai di situ, saya terus berwuduk dan mendirikan sembahyang Isyak secara berjemaah dengan dua orang yang lain. Ketika berada di dalam masjid, saya melihat binaan dan hiasan dalamannya biasa-biasa sahaja, tidak seindah bahagian luaran dan kubahnya. Mungkin masjid ini tidak mementingkan dalaman, hanya luaran yang perlu difokuskan. Adakah hati pihak yang membinanya pun demikian?
3) Selepas bersembahyang. ketika menikmati keindahannya yang begitu majelis, aku teringat tentang isu Masjid Kristal, yang banyak diperkatakan.
4) Tulisan ini ingin mengajak kita berfikir secara adil, rasional dan tidak bias atau memihak. Secara peribadi, saya beranggapan masjid ini merupakan masjid yang paling cantik pernah saya lihat. Saya bertuah kerana dapat bersembahyang di situ bersama-sama dengan jemaah yang lain.
5) Pihak pembangkang, khususnya (walaupun ada juga golongan marhaen) yang menentang pembinaan masjid ini dari awal sehinggalah ke kemuncaknya, isu masjid ini dijadikan bahan kempen di Kuala Terengganu, yang menyaksikan BN tewas.
6) Saya percaya antara isu atau sentimennya ialah, pembinaan masjid ini menelan belanja yang besar, dan pastinya wang yang digunakan ialah wang rakyat. Susulannya, berlakulah pembaziran. Pembaziran wang rakyat yang digunakan untuk mendirikan masjid ini. Masjid yang didirikan untuk menaikkan nama dan imej pemerintah.
7) Izinkan saya untuk memberikan pendapat. Mungkin pendapat saya tidak selari dengan saudara, saya percaya bahawa perbezaan pendapat akan wujud dalam banyak keadaan. Dan perbezaan ini wajar mematangkan kita.
8) Saya tidak beranggapan pembinaan masjid ini merupakan suatu pembaziran. Memang banyak wang digunakan untuk mendirikannya, namun pada pandangan saya, ini merupakan suatu bentuk pelaburan.
9) Ya, salah satunya pelaburan ekonomi. Kuala Terengganu akan lebih berjaya menarik kedatangan pelancong dari luar atau dalam negeri atau negara untuk melihat masjid ini. Salah satu sebab saya memilih Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan kali ini tentulah untuk melihat masjid ini. Saya membelanjakan ribuan ringgit ketika berada di sini selama beberapa hari.
10) Hasil kedatangan pesat pelancong, siapa yang turut mendapat untung? Adakah Mohamad Said, Idris Jusuh, atau juak-juaknya sahaja? Ya, mereka telah mendapat untung sebelum itu dan ini soal lain yang perlu dibahaskan, tetapi selepas masjid ini dilawati, banyak pihak yang turut menerima tempiasnya. Peniaga bazar, pengusaha hotel dan tempat pelancongan, peniaga makanan, peniaga batik di Pasar Payang, peniaga pisang goreng, malahan peniaga keropok lekor di Losong akan memperoleh keuntungan yang lebih banyak.
11) Saya tidak ada data tentang penambahan keuntungan mereka, tetapi saya percaya dan yakin, mereka pasti akan berasa lebih gembira selepas masjid ini dibina dan telah boleh dilawati.
12) Kedua, mengapakah isu pembinaan masjid yang mendapat tentang daripada orang Islam sendiri, walhal yang dibina ialah masjid, rumah Allah. Bukan kerajaan membina gereja atau kuil tercantik di Kuala Terengganu! Untuk makluman dan perhatian yang sesungguhnya, pembinaan gereja terbesar di Asia Tenggara ada di negeri Johor, iaitu di Taman Johor Jaya. Siapa yang membinanya? Ya, kerajaan negeri Johor yang pada ketika itu di bawah pimpinan penguasa, Muhyiddin Yassin. Mengapakah isu itu didiamkan? Gereja Kristian terbesar di Asia Tenggara dibina di negeri UMNO? Saya tinggal dan mengajar di Taman Johor Jaya sejak tahun 1995, dan saya melihat isu ini sangat kecil bagi masyarakat setempat! Hairan, pembinaan masjid, lambang keagungan Islam dikritik hebat, tetapi pembinaan gereja, disenyapkan. Inikah negara Islam?
13) Ketiga, oleh sebab yang didirikan ini masjid, sudah pasti di situlah orang Islam dapat beribadat. Katanya, tidak ada sembahyang Jumaat di situ, hanya sembahyang fardu. Apa masalahnya? Jika di luar sana terlalu banyak masjid yang tidak diuruskan dengan baik, tidak menjadi persoalan, Masjid Kristal mendapat tentangan kerana tidak ada sembahyang Jumaat! Saya telah banyak kali mengalami (saya juga percaya saudara juga pernah mengalaminya), masjid-masjid dikunci selepas waktu sembahyang!
14) Sambil melawat ke masjid ini, ramai yang saya perhatikan turut bersembahyang. Mungkinkah ini akan menjadi suatu permulaan bagi mereka yang tidak pernah sembahyang. Atau yang mempermudah urusan solat, kemungkinankah ini menjadi suatu bentuk kesedaran yang akan lahir selepas itu. Siapa tahu, melainkan Yang Maha Kuasa, penentu segala qada dan qadarnya.
15) Keempat, bukan orang Melayu/Islam sahaja yang datang melawatinya, malahan terdapat banyak sekali orang bukan Islam datang berkunjung ke sini. Bukankah ini suatu kebanggaan bagi seluruh umat Islam bahawa Islam itu indah, mementingkan keindahan, dan mampu mendirikan rumah ibadat yang secantik ini. Tidak ada sesiapa pun yang mengatakan Islam itu indah jika masjid yang dilawati atau didirikan berhabuk atau penuh tahi cicak! Kemuliaan Islam dapat ditanggapi oleh orang bukan Islam, salah satu caranya dengan melihat kepada keindahan lahiriahnya atau zahirnya. Umat bukan Islam tidak cenderung untuk menilai batin atau jiwa Islam jika zahirnya tidak memikat. Jarang-jarang atau hampir tiada seorang doktor yang berkuku panjang dan hitam berceramah tentang pentingnya menjaga kesihatan!
16) Umat Islam mampu dan sudah berkeupayaan mendirikan masjid yang mahal dan indah. Itulah persepsi orang bukan Islam, saya percaya demikian. Mereka tidak akan mengatakan bahawa pembinaan masjid ini suatu bentuk pembaziran, walaupun wang yang digunakan turut diambil daripada mereka, melalui cukai-cukai dan sebagainya. Walaupun mereka penyumbang cukai terbesar kerana mereka golongan usahawan dan berpendapatan tinggi, namun saya percaya mereka tidak akan mempertikaikan pembinaannya.
17) Saya terdengar ada orang mengatakan bahawa perlukah dibina masjid yang mahal ini sedangkan banyak lagi rakyat yang hidup miskin! Itu soal lain kerana tugas membasmi kemiskinan perlu dilakukan tanpa menjejaskan soal pembangunan yang perlu dilakukan. Sekiranya hanya tumpuan diberikan kepada usaha membasmi kemiskinan, bagaimanakah pula dengan soal-soal lain? Tidak wajarlah kita membuang kail ke laut kerana kita ingin mencari umpan! Tidak wajarlah kita berehat goyang kaki tanpa mencari lauk kerana nasi sudah ditanak! Kerana kedua-duanya kita perlukan. Membuang salah satu bermakna kita tidak menjadi sempurna. Usaha membasmi kemiskinan perlu dan wajib dilakukan untuk membangunkan ekonomi orang Islam, tetapi hal-hal lain perlu dijadikan pertimbangan juga. Kita sering menyalahkan umpan yang tidak elok jika tidak mendapat tangkapan yang baik sedangkan kita tidak melihat joran kita, sama ada sudah berladung ataupun tidak!
18) Saya percaya bahawa pembinaan masjid ini akan menjadi satu mercu tanda kebanggaan ekonomi umat Islam, khususnya di mata orang bukan Islam. Mereka akan meyakini bahawa Islam tidak mengongkong umatnya dengan soal sembahyang (masjid didirikan untuk sembahyang) dan puasa semata-mata. Islam perlu indah dan kelihatan indah. Masjid yang cantik dan menawan akan memberikan tanggapan yang baik kepada Islam itu sendiri.
19) Akhir sekali, saya percaya bahawa akan wujud perbezaan pendapat dalam hal ini. Untuk mencari kelemahan sesuatu bukanlah suatu perkara yang sulit, dan saya percaya perbezaan pendapat akan mendewasakan kita untuk mencapai kebenaran. Pintu perbincangan sentiasa terbuka. Saya mengalu-alukan pandangan saudara, yang mungkin bersetuju ataupun tidak bersetuju. Dalam hal ini, tidak ada sesiapa pun yang kalah atau menang. Kita berbicara tentang keterbukaan fikiran dan pengamatan.
20) Masjid Kristal merupakan satu lambang keagungan Islam. Islam yang indah dan mementingkan keindahan. Saya percaya kunjungan saya ke situ menjadi suatu pengalaman yang menarik. Saya juga percaya bahawa, sebagai kesimpulannya, Masjid Kristal bukan satu pembaziran!
Thursday, January 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Cikgu,
1. Buat pertama kalinya saya tidak menyokong @ setuju dengan pendapat / pandangan cikgu dalam entri WITRA. Saya bersetuju dalam 7-8 perkara dalam enteri ini atau dalam 60-70% kerana saya asal negeri ini.
2. Saya setuju bercampur tidak setuju bahawa Masjid Kristal (usah dilupa... termasuk Taman Tamdun Islam) merupakan SUATU PEMBAZIRAN DAN SUATU YANG TIDAK MEMBAZIRKAN.
3. Saya dah ke sana hampir 5-6 kali, ya... kali pertama dan kedua bekunjung ke sana (memang cantik dan indah), saya juga menyanggah kata-kata pihak yang mengkritik @ membangkangnya , tetapi setelah mendapat tahu beberapa hal tentang perjalanan proses projek dan impaknya... saya bertambah ganda curiganya terhadap PARTI TERBESAR ORG MELAYU SEJAK 60 TAHUN LEBIH INI...! Kenapa ya...
4. Saya tidak bersetuju dengan pendapat pada bil.(5) dan (6): Hakikatnya kemenagan PAS dalam PRK K. Trg baru-baru ini bukan kerana isu ini, ianya lebih kepada isu 'calon dan kesombongan / keangkuhan / ego / besar kepala UMNO'. Isu masjid (dan taman tamdun)ini telah dikemuka pihak pembangkang dalam PRU 12 2008 tetapi BN tetap kuasai negeri Trg. (Ya... ketika PRU 12 2008 ramai rakyat Trg kurang dan lambat terkena tempias gelodak kemarahan rakyat kepada UMNO khususnya... tapi lihatlah PRK K. Trg baru-baru ini)
5. Saya tidak bersetuju bercampur-campur setuju (macam pasaran saham aja cikgu...) dengan pendapat pada bil. (8), (9) dan (10):
Ya disokong... benar satu pelaburan, namun seperti biasa pelaburan banyak dikaut oleh 'puak-puak yang sama sahaja', puak lain dapat juga tetapi peratusnya berapa?
Setuju bahawa Ahli-Ahli Kelab Idris Jusoh - sedihnya hanya sempat jadi MB Trg 4 tahun sahaja... walau UMNO@BN tetap kekal perintah Trg selepas PRU 12... kerana apa...? (tetapi bukan puak-puak Ahmad Said MB Trg kini.. beliau hanya pemimpin biasa di Trg sebelum Mac 2008) menerima untung besar? kerana projek ini giat dibangunkan ketika beliau (Idris Jusoh) menjadi MB Trg...! Tetapi siapa pemodal utama dan pekerja bawahannya ramai dalam golongan siapa? Orang tempatan atau orang dari luar?
Saya setuju... Memang ramai pelancong datang membawa kepada perkembangan ekonomi masyarakat tempatan.
6. Tentang hal @ isu pembinaan masjid dalam bil (12): Ada tersiratnya dan tersuratnya, bukanlah menentang untuk membina masjid cantik atau paling cantik di dunia sekalipun, tetapi hakikatnya rakyat menyampah dengan 'cara kendalian pembinaannya dan pembahagian nikmat projek ini' oleh puak-puak PARTI TERBESAR ORG MELAYU SEJAK 60 TAHUN LEBIH INI...! Pernah dibanggakan inilah kejayaan besar pelaksanaan pembangunan UMNO Trg..(ini riak besar dan besar kepala), mengapa tidak dibangga-banggakan atas nama kejayaan Islam!?
7. Berkait tentang bil. (18) saya kutip langsung kata cikgu "Saya percaya bahawa pembinaan masjid ini akan menjadi satu mercu tanda kebanggaan ekonomi umat Islam, khususnya di mata orang bukan Islam. Mereka akan meyakini bahawa Islam tidak mengongkong umatnya dengan soal sembahyang (masjid didirikan untuk sembahyang) dan puasa semata-mata. Islam perlu indah dan kelihatan indah. Masjid yang cantik dan menawan akan memberikan tanggapan yang baik kepada Islam itu sendiri".
Saya setuju penuh, tetapi puak-puak PARTI TERBESAR ORG MELAYU SEJAK 60 TAHUN LEBIH INI...! kurang menyatakan kejayaan ini dalam konteks Islam... mungkin mereka takut dikaitkan atas nama Islam kerana nama partinya bukan Islam (hehehe....!) Ya... sebenarnya mereka guna nama Islam iaitu Islam Hadhari!, tetapi puak ini lebih menyatakan inilah kebanggaan Melayu UMNO...! Habis siapa yang tidak geram dan marah terhadap UMNO...
Ya... baru-baru 3-4 hari lepas... terdengar dan terbaca ulasan TPM tentang penghijrahan seorang pemimpin UMNO Perak ke PR ,ayat klise sejak zaman sekolah terdengar iaitu... "kita patut bersyukur kerana Umno dan BN lah yang telah banyak membantu rakyat.. bla...bla...bla...bla..!" (BOLEH BLAH...!)
Bukankah tanggungjawab itu pemerintah? Jangan gula-gulakan rakyatlah...
8. Memetik kata-kata cikgu dalam bil. (20): "Masjid Kristal merupakan satu lambang keagungan Islam. Islam yang indah dan mementingkan keindahan. Saya percaya kunjungan saya ke situ menjadi suatu pengalaman yang menarik. Saya juga percaya bahawa, sebagai kesimpulannya, Masjid Kristal bukan satu pembaziran!"
Saya bersetuju bercampur tidak bersetuju (macam pasaran saham cikgu... hehehe...) dalam beberapa keadaan, tetapi paling saya tidak bersetuju apabila puak-puak PARTI TERBESAR ORG MELAYU SEJAK 60 TAHUN LEBIH INI!ambil banyak 'kesempatan sedar dan tidak sedar' dalam pelaksanaan projek rakyat demi untuk peribadi dan puak mereka sahaja..
9. Apa-apapun cikgu, hamba tetap menjadi pengunjung utama WITRA kerana WITRA bukannya produk @ barang ekonomi Yahudi@Israel... HAHAHA...! Hhehehe...!
Sekian.
rar/
Salam RAR,
Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kerana sering menjadi orang yang pertama membuat komentar bagi tulisan saya. Setelah saya mengamat-amati pandangan RAR, saya tidak melihat pandangan RAR menyanggah pandangan yang saya lontarkan.Yang terkesan daripada komen RAR ini, ialah suatu bentuk penambahan maklumat dan info yang ada pada makluman RAR. Seperti yang ditegaskan, saya juga menyokong pandangan dan luahan RAR, khususnya tentang kekayaan yang dikaut oleh golongan parti Melayu terbesar ini! Ya, saya bukan setakat bersetuju, malahan amat bersetuju! Namun begitu, tulisan atau entri ini tidaklah bermaksud untuk menggali kecurangan pihak pemerintah. Saya rasa terlalu banyak artikel atau bahan yang telah ditulis, diceramahkan, dan disebarkan tentang manipulasi pihak pemerintah untuk memenuhkan kantung masing-masing, termasuk juga tentang TTI ini, yang termasuk Masjid Kristal. Saya menulis entri ini dengan sisi yang positif; iaitu melihat kebaikan yang akan diperoleh daripada pembinaannya. Sukar atau mustahil sama sekali masjid ini perlu dirobohkan semata-mata wujud penyelewengan dalam pembinaannya. Jadi, mengapa tidak kita melihatnya dari sisi positif, dan membuat tindakan susulan (misalnya melalui pilihan raya) dari sisi yang sebaliknya? Bukankah Tok Guru Nik Aziz menyatakan, "bagi duit ambil, bagi beras ambil, bagi kain pakai". Cuba kita kaitkan hal ini dengan pembinaan Masjid Kristal ini. Dan seperti yang saya nyatakan tadi (malah turut dinyatakan pada entri), saya tidak berhasrat untuk membahaskan penyelewengan dan kebobrokan pemerintah, lewat entri ini. Yang saya ingin kupas, soal pembaziran, bukan penyelewengan! Entri menyatakan bahawa Masjid Kristal,Suatu Pembaziran? bukannya Masjid Kristal, Suatu Penyelewengan? Jikalau tajuk entrinya yang kedua, sudah pasti saya akan membuang tanda soal di belakang tajuknya kerana sudah pasti wujud penyelewengan, seperti yang dinyatakan oleh RAR. Saya mencatat entri ini dengan suatu kesedaran bahawa pembinaan masjid ini haruslah dilihat dari sisi positif. Jikalau kita terlalu bersikap skeptikal dalam hal yang begini, saya percaya bahawa balai raya di kampung kita pun, jika dibangunkan oleh UMNO, pasti wujud penyelewengan! Adakah kita memboikot balai raya itu? Malahan, segala tender atau kontrak yang ditawarkan oleh pihak pemerintah tidak ada yang bersih, tulus, dan bebas daripada penyelewengan! Tidak ada! Abang saya mendapat mesin parut kelapa (dia penjual santan) secara percuma semasa pilihan raya yang lalu; bukankah itu bukti yang nyata lagi jelas tersuluh! Sebab itulah, untuk berlaku adil (bukannya menyokong pemerintah, jauh sekali untuk membelanya!), kita harus melihat Masjid Kristal sebagai suatu bentuk pelaburan yang tidak merugikan. Yang pasti, saya meyakini masjid itu bukan satu bentuk pelaburan yang harus disia-siakan. Yang lain, uruskan dengan mata fikir sendiri; untuk memangkah yang mana kita suka dan kita yakin pilihan yang tepat! Sekian.
Post a Comment