AYAT YANG SALAH
1. *Pelakuan pekerja di kilang itu sering diperhatikan oleh majikannya.
2. *Pelakuan para pelajar perlu seiring dengan peraturan yang telah ditetapkan.
Huraian:
Perkataan pelakuan tidak tersenarai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Sebaliknya, perkataan perlakuan digunakan yang membawa maksud “apa-apa yang dilakukan atau perbuatan”. Oleh sebab itu, perkataan yang sepatutnya dalam ayat di atas ialah perlakuan.
AYAT YANG BETUL
1(a). Perlakuan pekerja di kilang itu sering diperhatikan oleh majikannya.
2(a). Perlakuan para pelajar perlu seiring dengan peraturan yang telah ditetapkan.
Gunakanlah bahasa Melayu dengan betul.
Friday, January 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Cikgu,
1. Apakah penggunaan perkatan 'PELIBATAN' atau 'PENGLIBATAN' yang sesuai digunakan dalam sesebuah ayat, atau mungkin ada pilihan untuk kedua-duanya itu? atau kedua-dua perkataan ini tidak bersalahan dalam sebuah ayat?
Di bawah ini diperturunkan kata LIBAT dan maksud yang dikutip dalam Kamus Dewan:
libat; melibat membungkus, melipat, membebat, membelit;
melibati memasuki (sesuatu kegiatan dsb), menyertai: sebenarnya tulisan tentang sastera Islam dlm tahun tujuh puluhan dilibati oleh beberapa orang penulis;
melibatkan menyebabkan terlibat (terbabit), memasukkan (ke dlm sesuatu perkara dll), membabitkan: persetujuan yg dimaksudkan oleh Tengku itu ~ masalah politik dan ketenteraan;
terlibat 1. terbebat, terbelit, terlipat; 2. termasuk (dlm sesuatu hal), terbabit: kalau perkara itu ada kaitan dgn kampungnya, dirinya turut ~ sama;
keterlibatan perihal terlibat: dasar ini merupakan suatu gagasan umum mengenai segala aspek ~ belia dlm masyarakat;
pelibatan, penglibatan perihal melibatkan diri (persatuan dsb) dlm sesuatu hal (perkara dsb).
2. Saya kini 'dicutikan' bermula 19 Januari 2009 sehingga 20 Februari 2009 (satu bulan) kerana 'wajib menghadiri sesuatu di tempat itu'. Alhamdulillah berjalan baik, dan kini kena menjalani 'pantang besar dan kecil' untuk kembali pulih dengan sebaik mungkin yang boleh.
3. Cuma satu hal saya perlukan nasihat, pandangan dan motivasi cikgu tentang sedikit kerunsingan yang melanda kini akibat 'dicutikan' ini iaitu:
saya sedikit bimbang MOMENTUM kerja dan usaha hakiki (kerja hakiki) saya selama ini HILANG atau LARI setelah kembali dari 'dicutikan' itu nanti, bagaimana nasihat, pandangan dan motivasi cikgu @ sifuku?
Terima kasih. Sekian.
rar/
Salam RAR,
1) Berkaitan dengan perkataan pelibatan, perkataan ini baru dimasukkan dalam KD Edisi ke-4. Sebelum itu, hanya perkataan penglibatan digunakan. Namun demikian, lantaran perkembangan dalam bidang tatabahasa, telah didapati bahawa perkataan yang lebih tepat dari segi hukum dan rumus ialah PELIBATAN. Perkataan ini berasal daripada "proses melibatkan". Oleh sebab tidak ada bentuk "menglibatkan", dan hanya ada bentuk "melibatkan", maka diputuskan bentuk PELIBATAN yang perlu digunakan. Namun demikian, untuk mengelakkan kecelaruan dan kesulitan kepada pengguna bahasa, KDE4 tetap mencatatkan perkataan penglibatan kerana bentuk ini telah digunakan secara meluas. Rumusannya, kedua-dua bentuk diterima.
2)Bilangan hari cuti itu nampaknya sangat panjang, dan pastinya, warga DBPWS terasa akan kehilangan seorang stafnya yang dedikasi. Apa-apa pun, teruskan bercuti dan berpantanglah kerana itu merupakan satu cara yang memungkinkan proses penyembuhan berlaku lebih cepat.
3)Tentang MOMENTUM yang berkaitan dengan tugas hakiki di DBPWS, saya meyakini bahawa RAR tidak mudah untuk dihanyutkan oleh ideologi yang pada pandangan saya, tidaklah harus berlaku kepada semua orang pada setiap ketika. Ideologinya, jika sudah lama tidak bertugas, pasti momentumnya akan lari atau sedikit terhakis. Benarkah hal itu harus berlaku jika kita tidak mengizinkan? Wajarkah itu menjadi pertimbangan yang ideal ketika kita ingin berbicara tentang hal ini? Saya selalu meyakini bahawa salah satu strategi peperangan ialah apabila berhadapan dengan sesuatu masalah, kadangkala kita perlu berundur ke belakang setapak, untuk kita mara dengan gagah ke hadapan, bagi memenangi peperangan itu. Memang ada (malah banyak!) kes sedemikian berlaku, tetapi adakah mereka yang terlibat, suka asam pedas seperti kesukaan RAR? Saya percaya manusia diciptakan Tuhan tidak sama, malah sangat berbeza, waima Khairy Jamaluddin dengan Hishamudin Hussein sekalipun! Dan apa yang saya perhatikan, RAR jenis manusia yang tidak sama jika dibandingkan dengan kebanyakan orang, dari segi tanggungjawab dan minat, apatah lagi bakat! Percayalah, momentum yang kian hilang atau lari itu lebih bersifat falsafah, dan bukan sepenuhnya realiti yang pasti akan berlaku. Jika kita percaya bahawa suara kita seperti Amy Search, saya pasti jika kita nyanyi lagu Meniti Titian Usang atau Kejora, pasti kedengarannya (kita yang mendengar) seperti Amy Search! Kenapa? Kerana fikiran kita telah tertumpu dan terfokus pada premis itu. Kita menjadi apa yang kita fikirkan! Jika RAR berasa bahawa momentum tugas akan lari atau hilang, itu yang difikirkan. Saya tidak berdaya mengubah apa-apa yang RAR fikirkan! Malah, Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu tidak mengubahnya! Samalah seperti fikiran kita. Jika kita percaya bahawa PPSMI itu baik untuk anak bangsa, maka fikiran kita akan tertumpu ke arah itu dan kita tidak gentar untuk menentang sesiapa sahaja, dan sekiranya kita percaya bahawa PPSMI itu suatu pengkhianatan, saya percaya kita boleh menyusun sekontena hujah untuk mematahkan hujah lawan. Begitulah dengan apa-apa sahaja perkara yang kita lalui. Pernah seorang berjaya melompat parit yang sangat lebar ketika dikejar lembu, tetapi selepas itu, dia tidak mampu lagi untuk kembali ke seberang. Kenapa? Kerana (aku yang tanya, aku yang jawab nih!)fikirannya ketika melompat itu dikawal oleh suatu fikiran bahawa dia mampu dan perlu melompat tanpa memikirkan berjaya ataupun tidak. Tetapi, selepas itu, dia gagal melompat semula kerana fikirannya dengan tegas menyatakan bahawa usahanya itu pasti menghadirkan kegagalan! Lihatlah (aih..tak habis lagi!) David Blaine (pakar ilusi), dia boleh tinggal di dalam bongkah ais dalam tempoh masa yang panjang kerana dia percaya dia mampu lakukannya! (kita tolak sekejap faktor dia bela syaitan!). Berbalik kepada pertanyaan itu, saya berpegang teguh pada satu judul lagu Metallica, iaitu Harvester of Sorrow, yang bermaksud "menuai kemasyghulan". Saya percaya fahaman, ideologi, atau pemikiran seperti itu tidak sewajarnya berada di akal fikiran kita. Tuailah kemasyghulan itu dengan semangat yang lebih membara kerana cuti dalam tempoh yang lama, seharusnya mampu dikumpulkan segala momentum baharu, yang lebih ekstrem, dan lebih mantap ke arah kecemerlangan diri dan organisasi. Sekian.
Aikk?? RAR pun berpantang jugak? Sakit ke?
Salam AZURA,
Aikk?? RAR berpantang bukan kerana dia bersalin, sebab dia tidak ada saluran peranakan! Telefonlah atau lawatilah RAR, bertanya khabar.
Post a Comment