Tuesday, January 20, 2009

TEMU RAMAH DENGAN PROF.DR.AWANG SARIYAN TENTANG PENENTANGAN PPSMI

DIPETIK DARIPADA HARAKAHDAILY.NET
Menyandar harapan pada Pakatan Rakyat hapuskan PPSMI!


Prof. Dr Awang Sariyan, salah seorang tokoh bahasa yang lantang serta tidak putus-putus menyuarakan bantahan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Sekali lagi Harakah mendapatkan pandangan beliau mengenai isu terkini. Ikuti temubual Wartawan NYZA AYOB bersama beliau yang juga Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia � China, Universiti Pengajian Asing Beijing baru-baru ini. Dr Awang juga bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).

HARAKAH: Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussin mengatakan akan meneruskan dasar PPSMI ini walaupun mendapat bantahan daripada pejuang bahasa. Apa respons Prof?
PROF. DR AWANG SARIYAN
: Soal ada ugutan atau tidak, beliau mesti berfikir secara rasional. Bukan ertinya meneruskan pelaksanaan tersebut disebabkan ada ugutan. Jika tidak ada ugutan pun dia harus menghentikan juga pelaksanaan PPSMI itu kerana rasional telah diberikan. Kajian telah dibuat, pandangan telah diberikan baik dari segi falsafah, dari segi dasar negara dan dari segi amalan atau praktiknya PPSMI itu tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Bahkan ia akan menjerumuskan kita kepada satu bencana. Jadi, tanpa ugutan pun dia patut berfikir secara rasional dan menghentikan dasar yang tidak betul itu. Dasar itu tidak betul dari segi dasar negara kerana bertentangan dengan Dasar Kebangsaan, Akta Pendidikan 1986 serta akta-akata lain termasuk Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada pandangan Prof, adakah tindakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang bagi bantahan dasar ini, betul-betul dapat mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI ini?
Boleh atau tidak itu soalan kita. Ini kerana kuasa eksekutif itu terletak di tangan kerajaan yang memerintah. Kita ada amanah dan tanggung jawab serta pandangan. Dan ini mesti dilihat secara serius sebagai satu sumbangan pemikiran. Kalau pemikir dan ahli ilmu tidak lagi dihormati, kerajaan mestilah berani menanggung akibat seperti dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud "Apabila ahli ilmu tidak lagi dihormati,tibalah saat kehancuran sesuatu bencana itu".
Itu amaran yang diberikan dalam al-Quran. Kita memang tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan dasar tersebut tetapi kita hanya boleh mendesak atas dasar ilmiah serta atas dasar rasional.
Jadi, mereka mesti membuka pintu hati walaupun hati telah tertutup, tetapi masih ada ruang untuk membuka pintu hati bagi memikirkan rasional PPSMI itu dihentikan.
Saya berharap dengan adanya gerakan seperti ini bagi membentuk perarakan mengadap Yang Di Pertuan Agung dan perarakan keranda 152 oleh Gapena, diharap akan menjadi satu bentuk momentum daripada usaha kita selama ini.
Yang mana usaha kita selama ini dengan pelbagai cara seperti bantahan melalui seminar, melalui memorandum serta pertemuan secara bersemuka dengan pemimpin-pemimpin.

Tidakkah langkah yang diambil ini agak lewat?
Hishamudin pernah menyatakan dahulu, kenapa sekarang kumpulan-kumpulan ini membantah. Gerakan ini tidak boleh dianggap satu gerakan yang lewat kerana sejak dahulu lagi kita berjuang mempertahankan isu ini. Tetapi kita berbudi bahasa.
Kita bercakap secara ilmiah serta berunding secara halus. Tetapi jika itu juga tidak difahami, ada usaha yang lebih dapat membuka mata mereka iaitu dengan gerakan secara lebih agresif, tetapi masih dalam lingkungan undang-undang.
Kita melaksanakan himpunan 'halal' dan diharap akan diberi permit. Ini merupakan perhimpunan suara rakyat bukannya perhimpunan menentang kerajaan. Jika mereka faham, perhimpunan ini sebenarnya menyokong kerajaan kerana mempertahankan dasar negara. Jika kerajaan salah bertindak, kita mesti tegur kerana itulah peranan ahli ilmu atau pemikir.Nanti kita pula dituduh tidak memberi pandangan.

Ada yang berpandangan pihak lain tidak boleh mengubah dasar ini kecuali Umno sendiri...
Kita tidak mengatakan Umno sahaja boleh ubah tetapi kerajaan yang memerintah. Jadi, kerajaan sekarang adalah Barisan Nasional (BN). Sepatutnya semua parti dalam Barisan Nasional bermuhasabah dan meneliti kesilapan yang telah berlaku. Seterusnya mereka harus kembali kepada dasar yang betul. Kuasa di tangan kerajaan.

Harapan Prof terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan BN yang akan menerima memorandum daripada Gerakan Mansuhkan PPSMI ini pada 15 Januari ini di Kuala Terengganu Ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu?
Harapan saya ialah agar pemimpin ini akan berfikir secara rasional dan menerima kebenaran. Sebenarnya apa yang dikemukakan dalam memorandum ini adalah perkara yang telah bertahun-tahun kami kemukakan sejak PPSMI dijadikan dasar pada 2002.
Memorandum daripada kami ini harus dilihat ikhlas daripada pejuang bahasa, cendikiawan, pemikir dan ahli ilmu. Ia tidak harus dianggap remeh dan tidak menghormati pemikir-pemikir yang sebenarnya dihasilkan oleh negara untuk membantu negara.
Kalau mereka meremehkan ilmu budayawan dan cendikiawan, ertinya negara ini tidak memerlukan golongan cendekiawan dan ahli ilmu. Dan mungkin hanya memerlukan ahli ekonomi sahaja.

Sudah berkali-kali Prof membangkitkan isu PPSMI ini. Mungkin ada lagi yang masih terbuku di hati Prof mengenai isu ini setelah berkali-kali menyuarakan tentangan dan bantahan?
Saya sudah lama dan banyak kali meluahkan mengenai isu ini. Hingga tidak tahu apa lagi yang hendak dinyatakan. Cuma apa yang dapat saya nyatakan lagi, kita jangan melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan dasar yang telah diputuskan sendiri.
Kita yang cipta dasar itu tetapi kita yang menentang. Ini adalah munafik. Kita yang membuat dasar itu, iaitu Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan sendiri. Kenapa itu pula yang dilanggar?

Harapan Prof?
Saya berharap mereka (BN) jangan menjadi golongan hipokrit, lain yang dibuat lain yang dilaksanakan. - azm _

6 comments:

GURU_CIKGU said...

Salam,
Berdoalah agar terbuka mata hati "mereka" untuk kembali mendaulatkan Bahasa Melayu di bumi tercinta ini.

Azhar Salleh said...

Salam kembali CIKGU AMIN/GURU_CIKGU,
Salam pertemuan di blog ini. Terima kasih kerana mengingatkan saya dan pejuang bahasa agar sentiasa berdoa agar "mereka" kembali ke pangkal jalan. Namun, saya tidak terfikir bahawa perjuangan ini akan menemukan jalan yang mudah. Sulit sekali untuk membuka mata hati orang yang hanya tahu bermain politik demi periuk nasi mereka semata-mata. Dan tidak mustahil suatu masa nanti, bahasa Melayu akan tinggal dalam catatan sejarah! Walau apapun, ya, kita mestilah sentiasa berdoa dan berharap. Terima kasih atas kunjungan pertama ini. Moga terus layan!

abu naim said...

Pelaksanaan PPSMI memang menyakitkan hati saya, dan bersama-samalah kita berjuang untuk mendaulatkan bahasa dan bangsa kita. Pihak kerajaan yang memerintah sehatusnya sedar bahawa dalam diam rakyat sudah menentang dasar kerajaan yang akibatnya BN kalah di Kuala Terengganu. kekalahan ini sebenarnya suatu mesej daripada rakyat, tetapi kalau mereka masih berdegil dan tidak menghormati pendapat dan saranan para ilmuawan, tunggulah saat kebinasaannya! Wahai wakil kerajaan, cukuplah... usah disakiti dan dikecewakan lagi hati rakyat.

Anonymous said...

Menteri sekarang mmg bacul! Tak ada sekor pun barisan menteri sekarang ini yang benar2 pejuang. Baik yang atas, mahupun yang bawah. Hidup Dr. Awang! Hidup BM! Hapuskan PPSMI!

Kalau dh tak nak dengar cadangan rakyat...dan tak pandai menjaga hati rakyat...tunggulah kesan dan akibatnya dalam pilihan raya akan datang!!!

AKU YANG KECEWA

Anonymous said...

Cikgu,

1. Sudah 5 hari tidak memantau dan membaca blog WITRA ini kerana berhalangan oleh masalah diri yang dialami... tetapi kini semakin pulih sedikit demi sedikit.

2. Semakin ramai yang berkunjung dan memberi komen dalam blog WITRA ini, tahniah cikgu... namun walau diri ini alami masalah diri tetapi tetap menjadi pengunjung tegar... hehehe...

3. Sememangnya banyak info dan fakta menarik (walaupun ada juga fakta-fakta atau hujah-hujah klise) terdapat dalam akhbar siasah mingguan yang boleh dirujuk seperti HARAKAh, SUARA KEADILAN, SIASAH, WASILAH dan lain-lainnya yang boleh dibaca dan difikirkan tentang hal PPSMI, tidak seperti akhbar arus perdana milik puak yang telah memerintah negara selama setengah kurun, lihat sahaja kenyataan 'sang penguasa dan orang-orang kanannya' beri kenyataan...!?

Sekian.

rar/

Azhar Salleh said...

Salam CIKGU ABU NAIM,
Saya tak fikir mereka (dibaca: BN atau UMNO) akan sedar tentang penolakan rakyat, yang salah satunya tentulah isu PPSMI. Sebab itulah PAS menang di KT dulu, sebab PKR dan DAP dah mainkan sentimen bahasa. Jika BN/UMNO sedar tentang hal ini, saya percaya telah jelas penolakan rakyat tentang PPSMI. Tapi cikgu, mereka tak sedar selagi penasihat-penasihat yang ada di sekeliling mereka orang yang sama. Itulah salah sebab Dr. Awang Sariyan dihantar ke China!

Salam AKU YANG KECEWA,
Saya bersetuju dengan saudara yang mengatakan menteri2 sekarang bacul! Kita tengoklah nanti, kalau PPSMI masih diteruskan, tsunami PRU12 akan pasti menggelodak dengan lebih dahsyat!

Salam RAR,
Terima kasih kerana terus tegar melayan WITRA! Kalau akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian terus bersikap menyokong PPSMI, yang akan ruginya surat khabar mereka juga! Akhbar alternatif perlu dibaca kerana lebih telus dan pastinya, lebih cenderung menyokong BM. Untuk menentukan fakta yang manakah lebih baik, saya percaya kita perlulah bersikap berlapang dada dan melihat hujah dan idea secara berfikiran terbuka, kemudian tepuk dada tanya selera. Walaupun begitu, sehingga kini, saya masih tidak nampak "kekuatan" hujah pelaksanaan PPSMI. Sebabnya, saya guru yang menyaksikan sendiri tenaga pengajarnya memang tidak berbakat (bukan semua, tapi banyak sekali!) dalam pengajaran PPSMI. Malah jangan tak percaya pula kalau saya katakan ada guru PPSMI yang berkelulusan rendah dalam BI peringkat SPM yang mengajar PPSMI. Saya harap RAR boleh bayangkan, jika anak saya belajar dengan guru tersebut, boleh tak jika saya salahkan kerajaan?