Friday, January 30, 2009

A.SAMAD SAID: JIKA DEMO GAGAL, UNDI PROTES PPSMI

Jimadie Shah Othman Jan 30, 09 1:00pm
kemaskini 4:07pm (Sumber Malaysiakini)

(Foto: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said)

Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

"Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir. "Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini hari ini.Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu.

Sebuah lagi perkumpulan aktivis bahasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang dianggotai 24 persatuan penulis di seluruh negara turut mengancam mengadakan "Perarakan Keranda" – dinamakan Keranda 152 – bagi tujuan yang sama, dijadual pertengahan bulan depan.

Gapena juga tetap dengan pendiriannya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu sejak tujuh tahun lalu yang didakwanya melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan – yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar."Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan," katanya, yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, A Samad berkata:"Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda."Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

Selasa lalu, A Samad hadir dalam mesyuarat GMP bagi membincangkan siri bantahan terhadap PPSMI di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor. Turut terlibat dalam perbincangan itu beberapa tokoh sastera dan politik, termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang menganggotai jawatankuasa induk GMP.

Ditanya sama ada kemunculannya itu boleh menjejaskan imejnya sebagai tokoh sasterawan yang tidak partisan selama ini, A Samad menjelaskan, kehadiran beliau berdasarkan isu, bukan pihak yang mendukung gerakan tersebut."Saya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora (dasar PPSMI)," jelasnya. "Orang kiri jemput saya pergi (hadir), orang kanan jemput saya pergi." Esok, kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman membantah pelaksanaan PPSMI.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.Pak Samad diura-urakan akan turut serta buat pertama kali dalam program sebegitu.Sewaktu ditanya penyertaannya esok, sasterawan kelahiran Singapura itu bagaimanapun masih mahu berteka-teki."Awak tengoklah esok," katanya, sambil ketawa kecil.

A Samad menerima gelaran tertinggi dalam dunia kesusasteraan tanah air pada 1986. Selain itu, beliau yang terkenal dengan novel Salina – mengisahkah keperitan hidup seorang pelacur di Singapura akibat perang – turut dianugerahkan SEA Write Award daripada kerajaan Thailand.

Terima kasih saudara RAR atas info ini. Ayat yang digelapkan (bold) merupakan poin penting, pada pandangan saya.

3 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

1. Dalam isu PPSMI khasnya, saya sememangnya sudah lama hendak mendengar dan membaca kenyataan orang-orang penting seperti Sasterawan Negara dan sesiapa sahaja yang berprofil tinggi dalam hal sastera dan bahasa (tidak kira golongan veteran dan muda) kerana kenyataan sebegini menguatkan lagi semangat para penentang PPSMI.

2. Saya agak sinis apabila mendengar berita dalam sebuah media perdana 2-3 hari lalu(bersiaran pukul 8 - 9 malam); Dalam kesibukan rakyat dan pejuang anti PPSMI merencanakan demo @ bantahan, terbit satu isu dalam paparan berita itu tentang cadangan agar calon pemilihan UMNO berkompromi dan isu cadangan pembubaran sayap UMNO..., maka Sang Menteri yang berkait isu PPSMI dari tempat beliau kerjakan umrah amat segera menghantar kenyataan media ulas 2 isu itu..., sinisnya kerana Sang Menteri ini seperti tidak tenang di sana ketika kerjakan umrah pasal berkait dengannya dalam UMNO... TAPI TIDAK TENTANG HAL PPSMI...!

3. Dalam Berita NTV7 (pukul 7 malam) bertarikh 8 Januari 2009; Sang Menteri ini dalam satu sidang akhbarnya berkata "KERANDA KE, TAK KERANDA KE, PPSMI TETAP DIPUTUSKAN AWAL TAHUN DEPAN..." (beliau tersenyum kecil sambil disambut gelak ketawa kecil para wartawan)... tambahnya lagi "WALAU APA JUA DESAKAN DAN UGUTAN KEMENTERIAN TETAP TAK BERGANJAK...".

4. Perkara di atas (bil. 3 dan 4) dapat kita tafsirkan sendiri..., terpulang kepada cikgu dan pembaca lain. Sedih dan amat kecewa dengan sikap Sang Menteri ini semacam 'perlekehkan pejuang anti PPSMI...?', namun kini semakin ramai telah bersuara termasuk Sasterawan Negara dan golongan berprofil tinggi dalam hal sastera dan bahasa dalam negara...!

5. Dalam konteks negara demokrasi ini, tidak salah kita bersuara mengikut lunas yang betul apatah lagi dalam soal penyelewengan terhadap PERLEMBAGAAN MALAYSIA PERKARA 152 ini yang jelas bahawa pelaksanaan PPSMI melawan arusnya...! KITA BUKAN BEREMOSI (seperti yang dituduh oleh golongan penyokong PPSMI), KITA PERTAHANKAN HAK UNDANG-UNDANG TERTINGGI NEGARA...!

6. Sokong pendapat SN A. Samad Said tentang UNDI PROTES itu, pendapat SN ini hampir sama dan selari dengan pendapat cikgu sejak isu PPSMI hangat sejak 6-7 bulan lalu hingga kini. UNDI PROTES DALAM PILIHAN RAYA MERUPAKAN SATU LANGKAH EFEKTIF selagi puak-puak PARTI TERBESAR ORG MELAYU SEJAK 60 TAHUN LEBIH INI tetap begini selesa dan bahagia adanya.

7. Saya teguh dalam pendirian sejak dulu lagi (lebih tepat sejak bermula September 1998 hingga kini) bahawa jika UMNO TETAP DAN TAK BERUBAH DENGAN EGO BESAR - BESAR KEPALA - KEPALA BATU - BATU API - API SOMBONG - SOMBONG YANG MELATA - MELATA ZALIMNYA TERHADAP ORANG MELAYU YANG DI LUAR UMNO MAKA UMNO AKAN DITOLAK SECARA BERTERUSAN SEHINGGA LENYAP...?

8. Saya lihat para pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO (kecuali 1-2 orang) dalam isu PPSMI tidak bersuara dengan selayaknya sebagai pemimpin yang dipilih masyarakat Melayu... malah sebahagian pemimpin bukan Melayu (maaf ini bukan perkauman..) lebih lantang persoalkan PPSMI..!
Mereka (para pemimpin tertinggi UMNO yang berkenaan) lebih sibuk bicarakan soal pemilihan UMNO Mac ini... sedangkan salah satu kandungan PERLEMBAGAAN UMNO INI MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU...?

9. Saya sokong pendapat cikgu terhadap 'al-Misri' "bahawa orang Melayu tidak lupa", yang lupa merupakan orang UMNO yang taksub kepada UMNO hingga lupa bahawa salah satu perjuangan UMNO memartabatkan bahasa Melayu telah mereka abaikan sejak lama..!

10. Bagi saya jika gagal demo dan beberapa tindakan seperti menyerah memo dan sebagainya dalam bulan Februari - Mac ini... maka ada lagi beberapa pilihan lagi untuk menentang PPSMI... kerana MOMENTUM HARUS PERLU SENTIASA ADA...! (maksudnya bermula tempoh 2009 hingga 2012/2013 ini..) sebelum MENUJU PRU KE-13 PADA 2012/2013 NANTI..! NANTIKAN "SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT" / "LAWAN TETAP LAWAN".

Sekian.

rar/ 31.01.09

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Suara kecil, seperti kita akan tenggelam seperti buih tatkala ombak kembali ke lautan semula. Namun, suara sang tsunami mampu, setidak-tidaknya meranapkan rumah bongkak sang penguasa! Demikianlah analoginya. Jika A. Samad Said sudah menghujahkan tindakan yang sangat tepat untuk menghukum kebiadapan, rasa-rasanya itulah tindakan terbaik. Tetapi, yang perlu diruntuhkan hanyalah rumah penguasa yang angkuh, tetapi usah sesekali menggadaikan dan memperjudikan maruah bangsa! Saya percaya bahawa yang meruntuhkan tembok bahasa ialah sang penguasa, maka layaklah mereka dihukum. Jangan sesekali menghukum bangsa kerana bangsa itulah maruah kita. Pancunglah penguasa bongkak itu dengan sekeras-kerasnya. Memang UMNO bersalah dalam hal ini, tetapi saya tetap meyakini bahawa yang salah ialah pemimpinnya, bukan UMNO yang patut dihukum. Memang pandangan ini menongkah arus pelbagai pihak, namun marahkan nyamuk, kelambu dibakar, tentulah tidak adil. Untuk memancung pemimpin-pemimpin ini, akhirnya kita menghukum UMNO, dan akhirnya...percayalah, bangsa Melayu yang hanya tinggal kuasa akan kehilangan segala-galanya! Percayalah...!

Anonymous said...

Cikgu,

1. Saya akui dengan kata-kata cikgu yang ini iaitu:
i. "Tetapi, yang perlu diruntuhkan hanyalah rumah penguasa yang angkuh, tetapi usah sesekali menggadaikan dan memperjudikan maruah bangsa! Saya percaya bahawa yang meruntuhkan tembok bahasa ialah sang penguasa, maka layaklah mereka dihukum."
ii. "Pancunglah penguasa bongkak itu dengan sekeras-kerasnya. Memang UMNO bersalah dalam hal ini, tetapi saya tetap meyakini bahawa yang salah ialah pemimpinnya, bukan UMNO yang patut dihukum."

2. Ya... pemimpin-pemimpin dalam PARTI TERBESAR ORG MELAYU SEJAK 60 TAHUN LEBIH INI harus diajar atau kata cikgu 'dipancung' tentang hal untuk mengekalkan Melayu dan bahasa Melayu apatah lagi disedari bahawa hal bahasa Melayu ini berkait soal PERLEMBAGAAN MALAYSIA PERKARA 152 dan terdapat juga klausa dalam PERLEMBAGAAN UMNO itu sendiri, maka... UMNO harus WAJIB sebenarnya mempertahankan bahasa Melayu... ya..! jika UMNO berperanan dalam hal menentang PPSMI dan hal-hal memartabatkan dan mempertahankan bahasa Melayu, maka tidak perlu ada GMP atau GAPENA atau PENA atau apa-apa jua badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau PKR atau PAS dalam pertahankan bahasa Melayu dalam hal PPSMI ini..

3. UMNO lah yang PERLU dan WAJIB ke hadapan dalam hal ini SEBENARNYA... kenapa UMNO senyap sahaja...? itu yang rakyat hairan...!!?

Sekian.

Catatan sepi dan sisi: Maaf jika pendapat naif insan kerdil ini ada ketikanya sedikit bercanggah dengan pandangan cikgu... ya.. insan naif ini yang baru belajar dunia internet dan blog... Hehehe... Maaf ya.

rar/