Monday, January 19, 2009

PUISI: BARA DI GAZA

Pada minggu lalu, saya menerima sms (sistem mesej singkat) daripada Tuan Haji Rosli Bakir (Setiausaha 1, Persatuan Penulis Johor). Beliau berharap agar para penulis di negeri Johor dapat menyumbangkan sebuah puisi tentang konflik Palestin/Israel untuk diantologikan oleh PPJ. Saya perturunkan puisi yang saya hantar kepada beliau. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada PPJ kerana memberikan peluang kepada saya untuk melontarkan bait bicara penuh dendam amarah kepada bangsa laknat itu.

BARA DI GAZA
Dataran bara telah lama menyala
memanggang kaki dan tangan mentah
menyiat dan menyayat parut sejarah.

Berkajang dusta telah mengelar maruah
mencarik resolusi dan membakar sejadah
mendung yang kelabu melitupi langit biru
dan tanah yang sering membasah pilu
berdebu berabu sumpah yang satu
dengan nafas yang terbujur kaku
tiada upaya untuk bersuara lagi
satu mata dunia menjadi saksi
melihat tragedi menyalakan api.

Bertanyalah kemungkaran
di manakah keadilan
yang telah lama dikuburkan
bersama-sama gencatan
dan ilusi serta sepicing mimpi.

Malam gelisah ini makin membara
pelbagai petanda dan petaka
silih berganti di takhta musykil
nama kebebasan jua kedaulatan
semakin mereput dan bernanah
bergema di gempita api yang murka
di kaki bedilan bangsa yang laknat
yang bakal menghuni api yang mereka
nyalakan kini dengan angkuh.

Tiada lagi bicara hikmah
sumpah juang jihad fisabillah
kerana umat sudah tidak berdaya
semangat telah lelah dan parah
melecur dan kemudian rebah
menunggu masa untuk ditalkinkan
di bawah satu panji kesyahidan
demi sekangkang tanah
yang bermaruah.

2 comments:

. said...

salam kanda,
ye kanda. dengan puisi kita luahkan perasaan benci yang teramat ini.

memohon pandangan dan sokongan kanda, dinda baru buat satu blog untuk menghimpunkan biodata lengkap dan blog pebulis johor.

salam penuh hormat,
ren.

Azhar Salleh said...

Salam DINDA WAHYU,
Saya telah melawati blog penulis johor. Tahniah dan usaha dinda Wahyu amatlah patut disokong oleh semua penulis Johor. Insya-Allah, saya akan berikan maklumat yg berkaitan sedikit masa lagi. Kalau dinda Wahyu perlukan apa-apa, maklumkan. Nanti saya susuli. Terima kasih.