Monday, January 26, 2009

CATATAN DARMAWISATA: SEMALAM DI KUANTAN

26 JANUARI 2009
1. Saya dan keluarga bertolak dari JB pada pukul 10.00 pagi. Sampai Kota Tinggi, terus ke Restoran Nasi Ayam Baseer, dah lama tak pekena nasi ayam dia. (Kalaulah di JB ada cawangan Nasi Ayam Baseer, saya percaya lagi bertambahlah kekayaan taukenya). Ke klinik juga sebab Harith demam dan batuk.
2. Selepas itu, terus bergerak ke Kuantan. Dalam perjalanan, singgah kat Pekan untuk menikmati cendol pulut dan rojak mamak di tepi sungai. Sedap jugak rojaknya.
3. Kami sampai Kuantan lebih kurang pukul 4 petang. Selepas bertanya beberapa buah hotel, bilik penginapan banyak yang sudah penuh. Maklumlah, cuti raya Cina. Yang ada kosong cuma bilik standard. Bilik untuk famili sudah penuh. Memang saya tak ambil bilik standard, untuk mengelakkan saya tidur di atas karpet!
3. Dipendekkan cerita, ketika menghala ke Teluk Cempedak, ternampak sebuah rumah rehat, iaitu Annexe Rest House Kuantan. Di situlah kami menginap. Walaupun bayarannya tidak mahal dan tidak berbintang, tetapi saya mendapati biliknya agak memuaskan. Bilik famili di situ pun sudah habis, yang ada bilik deluxe. (Satu katil besar, satu katil bujang). Terpaksalah ambil juga, kerana peribahasa Melayu mengingatkan saya, takut-takut yang dikejar tak tak dapat, yang dikendong berciciran.
4. Selepas berehat seketika kerana penat memandu tadi, kami ke Pantai/Rekreasi Gelora. Membiarkan anak-anak bermain permainan di situ. Kemudian, ke sebuah gerai makan di situ. Selepas makan, kami ke bandar Kuantan. Bersiar-siar dan kemudiannya berhenti sebentar di depan masjid yang cantik itu. Tak tahu pula nama masjid tu.
5. Kemudian, ke pantai Teluk Cempedak. Ramai betul manusia di situ!
6. Oleh sebab anak yang kecil, Harith tidak begitu sihat, maka saya membatalkan hasrat untuk menghirup udara nyaman tetapi kencang di pantai. Balik ke bilik penginapan.
7. Tengok TV, baca akhbar Siasah, dan kemudiannya setelah semua tidur, saya menaip catatan ini.
8. Esok, selepas sarapan, rasa-rasanya terus ke Kuala Terengganu. Info daripada RAR amat bermanfaat dan maslahat. Terima kasih banyak-banyak, wahai saudaraku, RAR!
9. Esok, saya akan catatkan perjalanan seterusnya. Rasa-rasanya, tidak ada perkara yang menarik berlaku hari ini...Terus Layan!

4 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

1. Makan malam di mana semalam? Baru teringat satu tempat@kawasan makan yang agak menarik iaitu di Peramu (lintas jambatan Sg. Pahang - rasanya dari Teluk Cempedak ke situ dalam 15 minit). Banyak gerai IKAN BAKAR di sana, bolehlah cuba.

2. Pejalanan menuju ke K. Trg pasti menarik (ya jika kenderaan tidak berapa banyak di jalan raya...) kerana dapat nikmati alam jalan pantai yang baik. Cikgu akan lalui daerah Kemaman, akan lalu Kerteh (antara kawasan utama penyumbang ekonomi Malaysia - petroleum, tapi banyak royalti minyak tak meneyeluruh kepada rakyat Trg tetapi banyak terarah kepada JUAK-JUAK PARTI BESAR MELAYU yang kononya untuk rakyat...!!??).

3. Seterusnya lalui daerah Dungun, lalu ke daerah Marang, maka sampailah ke daerah K. Trg. Di K. Trg dah banyak juga hotel @ resort sama ada berbintang atau tidak. cubalah makan nasi dagang, nasi minyak, kerepok lekor (terutama di Losong) dan banyak lagi pilihan.

Sekian. ...bersambung...

rar/

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam kanda yang dirahmati,
terus layan Witra.he.he.
wah, seronoknya bercuti. harap kanda dapat memuat naik gambar2 cuti di sana. dengan infonya sekali.

Anonymous said...

Salam Cikgu, dari jauh mencari kini sudah kutemui. Salam hormat dan teruskan perjuangan!
al-Misri (Jafny Daksina)

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Sewaktu komen ini ditulis, saya berada di D'Teratai Resort, Rantau Abang. Esok bercadang ke Cherating. Di sini tak ada apa-apa yang dibuat. Bertemankan ombak besar di pantai. Sunyi sekali di calet ini. Terima kasih atas segala info yang dimaklumkan.

Salam DINDA WAHYU,
Terima kasih kerana Terus Layan! Tentang info dan gambar, akan dimasukkan selepas balik ke JB nanti. Mungkin darmawisata ini memberikan idea tentang beberapa hal yang menarik, khususnya yang berkaitan dengan negeri T'ganu.

Salam SAUDARA JAFNY DAKSINA,
Terima kasih atas kunjungan sulung ini. Mudah-mudahan sesuatu yang dicari dan dijejaki akan dapat dikongsi bersama melalui alam maya. Perjuangan, ya, pasti akan diteruskan selagi kaki ini terpasak di tanah! Kita sama-sama mencari dan menyimpulkan satu makna melalui tinta bicara, yang pastinya SUARA SANG MINDA akan terus bergema di inderaloka!