Monday, January 19, 2009

PUISI: SUMPAH BAHASA

Soal bahasa bukan soal remeh atau yang boleh diperlekeh! Tetapi, hari ini, kita melihat soal ini bukan sahaja tidak diberi ruang untuk bernafas, malahan bahasa Melayu telah diperlekeh oleh bangsanya sendiri! Lihatlah kenyataan demi kenyataan oleh para pemimpin tentang soal bahasa. Kadang-kadang saya terfikir, mengapa tidak dipinda atau dimansuhkan sahaja Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan itu? Habis cerita... Kita telah selalu dimomokkan dengan retorik yang berjela-jela. Kita seperti orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Kita dianggap ketinggalan zaman kalau bercakap dalam bahasa Melayu. Kita dilabelkan sebagai antikemajuan jika menulis dalam bahasa Melayu. Kita dicap sebagai golongan yang ekstrem dan penentang jika mempertahankan bahasa Melayu. Mungkinkah nasib bahasa Melayu akan terbela lagi?

SUMPAH BAHASA
Agak lama suara ini seperti menumpul
bagai bertapa dalam debar mencabar
menanti seorang wira yang akan muncul
melaungkan bicara tentang sumpah bahasa.

Barangkali
bahasa ini sedang meratap
di sebuah perbukitan yang mengharap
kembalikan wibawa di pentas persada
julangkan semula taraf yang dipersenda
janganlah nanti kita berdukacita dan lara
melihat bangsa mengusung keranda bahasa!

Tidak sesekali akan berundur
jiwa bahasa ini pasti tidak akan luntur
demi sebuah bangsa yang merdeka
bahasa ini akan terus bersuara
melaungkan sumpah untuk terus berjasa.

Sejarahnya mengangkat bangsa yang waja
berada di takhta, wajar menjadi petanda
bahasa ini harus berbangga atas sifatnya
santun berbicara, tegar berhujah, batil disanggah
membangunkan nusa, membangkitkan bangsa
menyatukan warga tanpa sekelumit prasangka
mendirikan kota, menyalurkan pengetahuan
menafaskan jati diri mengukuh peribadi
di tanah yang merdeka ini, kita wajar berbangga
dengan bahasa yang menumpahkan andilnya.

5 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Sdr. Azhar,
Saya sendiri kadang-kadang tidak faham bagaimana orang Melayu sendiri(yang tidak menyayangi bahasa sendiri )berkata, pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris tidak menjejaskan bahasa Melayu.
Selamat berjuang!

Anonymous said...

Cikgu,
apa kata, hantar puisi ini kepada Pak Lah...send to Warkah Buat Pak Lah.

Anonymous said...

Cikgu,

1. Apa khabar..., saya baru pulang dari satu 'tempat' yang penuh pengalaman dan mengujakan untuk tambahan coretan hidup.

2. Banyak juga ilham dan idea berdasarkan pengalaman diri berada 'di tempat' itu yang diperoleh..., boleh tulis karya kreatif dan ilmiah... ya jika ada kemahuan dan displin diri.

Sekian.

rar/

Azhar Salleh said...

Salam TUAN HAJI SHAPIAI,
Saya akan terus bersuara tentang PPSMI. Terima kasih kerana memberikan sokongan moral kepada saya. Saya akan berusaha untuk terus menegakkan keadilan untuk bahasa.

Salam BIDADARI SYURGA,
Rasa-rasanya yang perlu dihantar kepada Pak Lah bukan puisi ni, tapi guru-guru PPSMI! Suruh guru-guru ni "speaking" depan Pak Lah, kalau tak tergolek Pak Lah, tak taulah nak kata apa lagi! Saya rasa, Pak Lah boleh "resign" esok jugak kalau tengok guru-guru PPSMI ni "speaking"!

Salam RAR,
Sudah lama tidak menatap puisi RAR dalam akhbar arus perdana! Saya cadangkan agar RAR kembali ke dunia itu dengan segera! Cuti sebulan ni, rasa-rasanya boleh tulis beberapa buah puisi. Mungkin salah satu puisinya (mungkin) bertajuk "Jururawat yang Tidak Bersopan Santun" atau "Nurse yang Tidak Berbudi Bahasa".

cahaya kesayanganku said...

salam..tuan,
saya ingin memohon kebenaran tuan untuk mendeklamasikan sajak2 dalam blog tuan ini bersempena minggu bahasa yang akan diadakan seminggu lagi di kota tinggi. minggu bahasa ini adalah kerjasama dengan DPB dan tema adalah bahasa jiwa bangsa. diharap tuan membenarkan kami untuk mendeklamasikan sajak2 tuan dan merestui penggunaannya.