Friday, January 30, 2009

BAHASA KEBANGSAAN: SOROTAN PROGRAM ALLY, TV3

SOROTAN PROGRAM BUAL BICARA (TALK SHOW) ALLY, TV3 TENTANG PEMARTABATAN BAHASA KEBANGSAAN

1) Saya berasa Ally Iskandar telah berjaya mengendalikan program bual bicara (talk show) yang ke udara pada 28 Januari 2009 (Rabu) yang lalu dengan baik melalui pendekatan provokasinya.


2) Isu atau topik yang dikupas adalah yang berkaitan dengan penggunaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan.

3) Panel yang diundang ialah mantan Pengarah Bahasa DBP, Puan Hajah Noresah Baharom, pakar sosiolinguistik UKM, Prof. Teo Kok Seong, dan kartunis terkenal, Saudara Ujang.

4) Izinkan saya menyenaraikan rumusan poin atau isi kandungan bual bicara itu secara sepintas lalu (kerana saya tidak mencatatnya, dan hanya ini yang teringat):
a. Ramai masyarakat tidak tahu beza antara bahasa Melayu dengan bahasa Malaysia; sehingga ada makhluk mengatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan bahasa Malaysia ialah bahasa yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain.
b. Ramai yang tidak tahu apa itu Bulan Bahasa, dan bilakah Bulan Bahasa diadakan.
c. Ramai (ingat, orang Melayu!) yang mengatakan bahasa Melayu ialah bahasa kampung dan tidak penting.
d. Ramai yang ditemu bual tidak dapat menentukan kesalahan ayat yang ditunjukkan.
e. Ramai yang menegaskan bahawa Inggeris jauh lebih penting daripada bahasa Melayu.

5) Ujang, seolah-olah menafikan peranan kartunis untuk memartabatkan bahasa Melayu. Katanya, bukan tugas kartunis untuk mengangkat taraf bahasa Melayu kerana kartunis bertindak untuk mendedahkan dan menggunakan apa-apa yang digunakan oleh masyarakat. Jikalau kartunis perlu menggunakan bahasa Melayu standard, akan hilanglah sifat humornya. Ujang juga mengatakan bahawa perlu diadakan bahasa kartun, sama seperti bahasa sajak, bahasa ilmiah, dan sebagainya. Ujang turut memperlekeh pejuang bahasa sekarang dengan mengatakan perubahan yang berlaku sekarang akan menyebabkan pejuang bahasa dahulu akan menggelakkan pejuang bahasa sekarang!

6) Hajah Noresah lebih memfokuskan penggunaan bahasa Melayu yang betul yang patut digunakan oleh masyarakat. Beliau didapati cenderung untuk mempromosi diri dan konsultannya (akhir bicara) berbanding dengan kelantangan yang perlu ditegakkan kerana beliau pernah berada di DBP. Malah, perkataan “bajet” yang digunakan pun, setelah ditanya atas arahan siapa, yang dijawabnya ialah kerajaan langit! (Tak pasal-pasal Ayah Pin tersangkut sama!) Mungkin masih tidak berani pejuang bahasa kita! Diberi kesempatan, periuk nasi juga yang dijaga!

7) Prof. Teo bersifat lebih terbuka. Jelas kelihatan rasionalnya. Ada satu isu yang dibangkitkan oleh Ujang dijawab dengan penuh hikmah; iaitu jika semua orang tahu membezakan situasi rasmi dengan tidak rasmi, soal penggunaan bahasa tidak akan menjadi masalah besar. Bahasa SMS, bahasa kartun boleh diizinkan tetapi dalam konteksnya sahaja. Sayangnya, Ally tidak banyak memberikan ruang kepada Prof. Teo untuk bersuara.

8) Pendapat audiens yang berada di dalam studio menampakkan emosi mereka yang tidak stabil. Mereka didorong untuk mengatakan bahawa bahasa Inggeris perlu diutamakan dan akan dianggap lebih sofistikated. Jikalau perlu menggunakan bahasa Melayu, tidak mengapa digunakan bahasa rojak. Seorang audiens mempersoalkan perkataan “merbahaya”, kenapa telah ditukar menjadi “berbahaya”. Hajah Noresah menjawab soalan ini dengan baik. Seorang audiens lagi mempersoalkan, mengapa DBP tidak memaklumkan tentang perubahan yang berlaku dalam penggunaan bahasa melalui media. Soalan ini pun dijawab dengan baik oleh Puan Noresah. Yang kelihatan daripada pendapat dan soalan audiens ialah, mereka cuba untuk menunjukkan bahawa bahasa Melayu ada kelemahan, dan sewajarnya dikesampingkan! Nampaknya, mereka tidak sedar lagi bahawa bahasa Inggeris mereka pasti berkecamuk teruk; kerana akal fikiran mereka nampak sangat terpancar akan keangkuhan (sebenarnya saya nak gunakan kebodohan!) mereka.

9) DBP turut dikritik oleh Ally kerana kerenah birokrasi.

10) Ally memberikan tiga cadangan yang baik. Tukarkan nama laman web milik kerajaan kepada bahasa Melayu, syarikat komunikasi menghantar sms “satu hari satu perkataan”, dan satu lagi, saya tak ingat!

11) Saya tidak berhasrat untuk mengulas hal ini. Kita perlu bersikap rasional sesekali. Memang itulah realitinya, jika UMNO dan orang Melayu yang ada kuasa masih menafikan Fasal 152, Perlembagaan Malaysia! Bahasa rojak akan berleluasa, bahasa Melayu akan dipandang hina, dan bahasa Inggeris akan dianggap wira!

12) Anda, bagaimana?

8 comments:

Wahyu Budiwa Rendra said...

kanda azhar yang dimuliakan.
sedih juga saya lihat audien, yang kalau tidak silap saya adalah bakal-bakal guru. sepatutnya mereka lebih cakna dalam isu bahasa; mempertahan dan mengagungkan bahasa sendiri, bahasa kebangsaan kita. tetapi sebaliknya telah berlaku. seperti yang ditulis dalam Pengalaman Bahasa Tn.Hj.Shapiai. mungkinkah situasi berulang? tragis.

Anonymous said...

Cikgu,

1. Saya menonton rancangan ini secara penuh, saya tahu tentang isu yang diketengahkan kerana rancangan ini dipromosikan @ dikhabarkan sejak 3-4 hari sebelum hari tayangan.

2. Ketika rancangan ini disiarkan, cikgu di Dungun, Trg dan saya di JB, ya... sambil kita berbalas SMS tentang format rancangan ini yang semacam hasrat kita untuk adakan BUAL / FORUM BAHASA sejak 2 tahun kebelakangan ini termasuk tahun ini, tetapi hanya cikgu dan saya yang tahu tentang perancangan ini... ya semacam diadakan program CERITERA SASTERA yang pernah diadakan sekitar tahun 2006/2007.

3. Pandangan dan cara Ally kendalikan isu ini mengesankan, Ally bukan sahaja berbicara (soal dan jawab bersama panel) namun diselitkan situasi bahasa Melayu dan rakaman temu bual termasuk diketengahkan beberapa pandangan yang agak mengejutkan termasuk 'masyarakat luar tidak tahu tentang wujudnya Bulan Bahasa...!'

4. Hakikatnya kita perlu akui tentang masalah dan ketidakpekaan masyarakat terhadap bahasa Melayu kini... sedih (tapi apakah ini disedari oleh pemimpin PARTI TERBESAR UMAT MELAYU DI MALAYSIA YANG TELAH BERUSIA 60 TAHUN LEBIH...?).

5. Seperti catatan cikgu bil. (4) dan (5)inilah hakikat puak PARTI TERBESAR UMAT MELAYU DI MALAYSIA YANG TELAH BERUSIA 60 TAHUN LEBIH sedar atau tidak? Sememangnya perjuangan bahasa Melayu terdapat dalam perlembagaan parti besar ini...

6. Cuma tambahan maklumat kecil, penontonstudio (dan mungkin masyarakat di luar) terpinga-pinga apabila Pn. Noresah memberitahu bahawa DBP banyak majalah untuk mengetahui tentang hal bahasa, dan pernah ada akhbar sisipan dalam Berita Harian.

7. Tentang bil. (9), saya dapat mengesan bahawa Ally sebelum rancangan ini seboleh mungkin ingin jemput panel yang masih berkhidmat dalam DBP tetapi beliau hampa kerana panggilannya 'dilepaskan' dari satu tempat ke satu tempat hingga tiada siapa yang pasti untuk diundang...!

8. Apa-apapun cikgu, perancangan untuk adakan forum atau bual bicara bahasa seperti ini di Johor / Melaka bergantung kepada 'Penguasa Baharu Bahasa'. Saya dah penat kemukakan dan beri idea bagi laksanakan program sebegini,namun saya tidak akan berputus asa. Forum sebegini paling tidak merupakan himpunan titik-titik dalam menyedarkan masyarakat tentang bahasa Melayu (apakah boleh diharap kepada puak PARTI TERBESAR UMAT MELAYU DI MALAYSIA YANG TELAH BERUSIA 60 TAHUN LEBIH).

Sekian.

rar/ 30.01.08 - 8.50 pagi.

Citra Wangsa said...

Rancangan ini memang dinanti-nantikan oleh saya (hanya topik bahasa) ini. Sebelum ini tak ambil pusing pun...
Sayangnya, saya GAGAL menontonnya hingga ke penghujung rancangan, kerana program ini terlalu lewat untuk ditonton oleh SEORANG IBU YANG PENAT MENYUSU BAYINYA...
Mujur diulas cikgu...

Anonymous said...

TUAN AZHAR,

a. Saya 'INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI' telah mengirim komen dalam entri tuan berjudul KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 3 : KAD KREDIT LAWAN KAD DEBIT tetapi tuan tidak balas... tidak mengapa tuan kerana saya sedar tuan sibuk dan letih bercuti (ya... maaf tuan kerana saya memasuki gelenggang entri ini pula yang banyak bicarakan soal bahasa.. hehehe..).

b. Tuan, saya amat tertarik dengan berita terbaharu berjudul 'Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI' yang saya baca melalui Malaysiakini.com hari ini 30 Januari 2009 iaitu tentang kenyataan SN A. Samad Said, saya kutip langsung sebahagian katanya di bawah ini:

i. Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

ii. "Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir. "Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini hari ini.

iii. Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

iv. Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar.

v. "Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan," katanya, yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

vi. Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".

vii. Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, A Samad berkata:

viii. "Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda." Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

ix. Selasa lalu, A Samad hadir dalam mesyuarat GMP bagi membincangkan siri bantahan terhadap PPSMI di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

x. Ditanya sama ada kemunculannya itu boleh menjejaskan imejnya sebagai tokoh sasterawan yang tidak partisan selama ini, A Samad menjelaskan, kehadiran beliau berdasarkan isu, bukan pihak yang mendukung gerakan tersebut. "Saya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora (dasar PPSMI)," jelasnya. "Orang kiri jemput saya pergi (hadir), orang kanan jemput saya pergi."

xi. Esok, kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman membantah pelaksanaan PPSMI.

c. Tentang kutipan berita di atas, MOHON TUAN AZHAR BERI PANDANGAN DAN BUAH FIKIR YANG BAIK... Saya amat yakin tuan ada sesuatu untuk perkatakan hal ini dengan hujah yang bernas. Apa-apapun tuan, saya masih memikir sama ada perlukah saya memiliki Kad Kredit...? atau saya kekal selesa dalam keadaan begini..? Hehehe...

Sekian. Jumpa lagi.

P/S: Maaf tuan mengganggu entri terbaharu tuan ini (ya.. berkait soal bahasa ini) walaupun saya lebih banyak membaca entri tuan tentang pengurusan kewangan.

Daripada:
INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI.

Anonymous said...

Salam cikgu, ternyata apabila sesuatu itu tiada kepentingan kepada 'mereka' maka terbiarlah ia. Walaupun sesuatu itu misalnya bahasa merupakan warisan & khazanah agung sesebuah bangsa yang berperadaban. Adakah mereka sering lupa? Klu begitu benarlah kata Tun M "Melayu-U_-O" mudah lupa. Kita harus teruskan perjuangan!

Azhar Salleh said...

Salam DINDA WAHYU,
Saya sebenarnya tidak terkejut langsung dengan pemikiran dan tindakan audien di dalam studio, bahkan di luar studio semasa Ally ke udara. Mengapa? Sebab saya sudah menjangkakan bahawa kebanyakan orang Melayu (khususnya golongan muda dan kononnya terpelajar) beranggapan bahawa bahasa Inggeris patut dipentingkan utk menghadapi cabaran masa ini. Mereka, malahan bakal guru atau guru sekali pun, sentiasa berusaha untuk memperlekeh bahasa Melayu! Mereka mahu dianggap ke hadapan, canggih, dan berfikiran maju dengan memperagakan keupayaan untuk menggunakan bahasa Inggeris. Ya, seperti yang diceritakan oleh Tn. Hj. Shapiai, memang itulah realitinya. Saya teringin benar untuk bersemuka dan berhujah dengan puak-puak ini, kerana saya yakin mereka tidak berkemampuan pun menggunakan bahasa Inggeris dengan baik. Saya yakin mereka berlagak sahaja, konon-kononnya mereka pandai dan nampak terpelajar! Kalaulah bakal guru pun seperti itu, saya percaya kementerian tersalah pilih! Oleh sebab saya guru, saya telah banyak melihat guru-guru ini punya berlagak! Tapi bila saya tanya mengapakah ada perkataan “children” bukannya “childs”, seekor pun tak dapat jawab! Pirahhh….

Salam RAR,
Dalam konteks ini, kita perlu berlapang dada untuk menangani isu bahasa. Masyarakat atau pengguna bahasa banyak yang tidak tahu tentang apa-apa perkembangan bahasa. Ya, sudah jelas mereka yang salah kerana maklumat tidak terjun dari langit kepada mereka! Oleh sebab itu, mereka tidak tahu bila Bulan Bahasa, mereka tidak tahu adanya majalah DBP. Namun demikian, oleh sebab kita perlu berlapang dada, saya percaya kita (dibaca; orang atau organisasi bahasa) perlu lebih giat dan sangat-sangat proaktif dan sentiasa turun ke padang untuk bertemu dengan khalayak marhaen di bawah. Tak perlu mewara-warakan soal bahasa kepada pemimpin politik (khususnya UMNO!) kerana mereka sudah buta hati dan kudis buta! Saya faham RAR begitu gigih dan bersemangat untuk menggalas cabaran dengan idea dan cadangan yang dikemukakan kepada Sang Penguasa Bahasa, namun saya percaya RAR yang saya kenali bukan orang yang mudah putus asa! Teruskan, wahai saudaraku, kerana perjuangan anda amat sukar untuk saya nukilkan pada paparan blog ini kerana tidak memadai hanya dengan kata-kata! RAR, inilah waktu yang sesuai untuk kita (dibaca; sesiapa yang beriltizam untuk memperjuangkan bahasa Melayu) BANGKIT, BERGERAK, BERANI MENEMPUH SEGALA CABARAN DAN RINTANGAN…

p/s: Apa kata jika diadakan satu mesyuarat kecil di DBPWS untuk sama-sama kita merencanakan strategi tahun 2009 ini, khusus tentang bahasa? (Tak perlu buat untuk unit sastera kerana Sang Penguasanya terlalu amat handal!) Undanglah AJK PPJ, Munsyi Dewan, dan persatuan penulis lain, malahan individu yang mampu sama-sama, saya ulangi sama-sama, berjuang untuk memartabatkan bahasa di wilayah selatan ini. Hanya satu cadangan…

Salam INSAN YANG SEDAR DIRI UPAYA WANG YANG ADA DALAM DIRI,
Tentang pandangan dan saranan A.Samad Said, insya-Allah saya akan ulas dan berikan pandangan sehari dua ini. Malam ini macam tak sempat kerana esok ada kuliah! Saya akan cuba ulas setiap butiran dan petikan kata-kata idola saya itu. Saya akan cuba muatturunkan petikan berita itu dan masukkan ke dalam blog ini. Terima kasih kerana info anda sungguh bermanfaat , bukan sahaja kepada saya, malahan kepada rakan-rakan blog yang lain! Jika anda ada apa-apa yang penting dan terkini (khususnya tentang bahasa Melayu), silalah masukkan ke dalam blog ini melalui komen. Mudah-mudahan, maklumat yang anda sampaikan dapat dikongsi dengan lebih banyak rakan. Pertimbangan anda amat dihargai.

Tentang entri kad kredit, saya ulas pada entri tersebut. Janganlah saudara bimbang, setiap pertanyaan atau mohon pandangan, pasti saya ulas kerana tanpa saudara, blog ini akan menjadi sunyi dan sepi! Bacalah ulasan saya pada entri tersebut. Terima kasih kerana saudara masih sudi melayani blog ini dan harap-harap Terus Layan! Janganlah boikot, ya!


Salam AZURA,
Ulasan dan sorotan saya agak ringkas walaupun saya menontonnya dari mula sampai habis. Ketika saya menonton rancangan itu, saya berada di sebuah calet di Rantau Abang. Oleh sebab suasana pada malam itu sunyi, tetapi ombak besar sangat ganas, saya tidak dapat mencatat atau mengingati semua yang diperkatakan. Hanya inilah yang mampu saya coretkan, dan mujurlah RAR turut berkongsi info tambahan. Apa-apapun, Azura, susuilah anakmu dahulu kerana anak lebih penting daripada rancangan Ally!

Salam SAUDARA JAFNY DAKSINA,
Saya tidak bersetuju jika dikatakan soal bahasa tidak menjadi berkepentingan kepada UMNO. UMNO ialah parti Melayu yang ditubuhkan, antara lainnya adalah untuk membela dan mempertahankan bahasa Melayu. Jika mereka tidak sanggup lagi mempertahankan bahasa Melayu, mereka perlu berundur. Jika masih berdegil untuk berundur, saya percaya mereka perlu dipaksa untuk berundur. Jika masih gagal (seperti yang dinyatakan oleh A. Samad Said), wahai orang Melayu, gunakan kuasa yang ada semasa pilihan raya! Saya kurang bersetuju juga jika dikatakan orang Melayu mudah lupa, kerana yang saya perhatikan ramai orang Melayu yang sentiasa dan masih beringat (buktinya, terdapat gerakan Hapuskan PPSMI), tetapi, saya amat-amat bersetuju jika saudara katakan bahawa UMNO mudah lupa! UMNO, bukan sahaja mudah lupa, malahan tidak pernah untuk belajar pengalaman dan peristiwa sejarah! Saya semakin yakin bahawa tindakan Tun Dr. Mahathir keluar daripada UMNO merupakan satu tindakan yang teramat tepat, walaupun dia yang mencetuskan dan melaksanakan PPSMI!

Lumut Pagi said...

Salam ziarah..

Saya ada menonton rancangan Ally tersebut. Sedih rasanya melihat anak Melayu sendiri yang mempersoalkan hak bahasa melayu di bumi Melayu ini. Keliru dengan bahasa ilmu dunia, yang kini diangkat lebih tinggi daripada bahasa sendiri. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada Ally yang sudi membicarakan topik ini. Semoga ada jalan untuk kekusutan ini.

"...tanda orang yang malang, bahasa sendiri ia buang. Tanda orang tidak amanah,bahasa sendiri dipandang rendah..."

(Pak Tenas Effendy, Mantan Ketua Adat Melayu Riau)

Azhar Salleh said...

Salam LUMUT PAGI,
Gerakan untuk memartabatkan bahasa Melayu semakin hebat akhir-akhir ini. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) semakin lantang dan dalam bulan Februari dan Mac 2009 ini, kita akan melihat isu ini akan kembali hangat dibicarakan. Saya rasa kita tunggulah nanti perkembangan dan tindakan pihak pemerintah. Jika tiada apa-apa usaha untuk mengangkat kembali martabat bahasa Melayu, maka, sebagai bangsa Melayu yang sayang akan bahasanya, gunakan segala ruang dan kesempatan yang ada (misalnya, pilihan raya) untuk membuat keputusan yang tepat!
Terima kasih atas kunjungan anda. Saya amat menghargai segala pandangan dan komen yang diberikan.