Sunday, January 11, 2009

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 2

KAD KREDIT – ANTARA HUJUNG DUNIA ATAU HUJUNG PEDANG!

1. Tuan-tuan, mari kita memulakan bicara ini sekarang. Mahukah saudara meneruskan bicara ini dengan saya? Jika saya telah menggores hati anda, bumi mana yang tak ditimpa hujan? Saya percaya saya telah melakukan kesalahan kerana membiarkan blog ini tidak terisi dengan apa-apa bahan sejak seminggu yang lalu. Sekali lagi, saya mohon maaf, khususnya kepada pengunjung setia.
2. Di sekeliling kita, terdapat ramai rakan kita yang memiliki kad kredit. Dan tidak mustahil di dalam dompet kita pun terselit sekeping atau dua kad kredit. Tahniah, tuan-tuan kerana tuan berjaya memiliki kad kredit kerana bukannya senang hendak mendapatkan kad kredit. Saudara mestilah mempunyai pendapatan melebihi RM1500.00 sebulan sebelum bank memberi anda kad emas atau platinum!
3. Pertama sekali, jikalau tak silap, sejarah kad kredit bermula apabila seorang lelaki di Amerika Syarikat makan di sebuah restoran dan terlupa membawa wang. Pada ketika itu, dia terfikir bahawa alangkah mudahnya dia jika tidak perlu membawa wang dalam jumlah yang besar dan menyebabkan pelbagai risiko lain seperti hilang atau dicuri. Ideanya, gunakan kad kredit, dan selepas itu berkembanglah industri ini (dipendekkan cerita).
4. Industri yang menyebabkan ramai antara kita yang menjadi muflis…
5. Dan diburu oleh pihak pemungut hutang atas arahan pihak bank…
6. Ataupun, tidak berani menjawab panggilan telefon yang sudah dijangka pemanggilnya dan lebih teruk sekali, tidur malam tidak lelap kerana hidup dikelilingi hutang; hutang kad kredit!
7. Adakah saya menakutkan anda? Janganlah berasa gayat kerana saya tahu saudara bijak menguruskan wang (seperti saya, ehem…) dan saudara tidak ada masalah untuk membayar bil.
8. “Tok guru, saya bayar jumlah minimum je tiap-tiap bulan. Janganlah beritahu orang,” saya terdengar seorang daripada anda berkata.
9. Jangan bimbang, saya tidak akan memberitahu orang! Kita berdua sahaja yang tahu, ok?
10. Tuan-tuan, saya ingin menjawab soalan yang pertama; perlukah kita memiliki kad kredit?
11. Jawapannya, ya dan tidak. Jika anda seorang yang bijak mengawal perbelanjaan, mungkin jawapan yang sesuai ialah ya, dan mungkin, ya, ya, ya, jika anda sering ke luar negara, ke hujung dunia!
12. Jika anda hanya mampu membayar bayaran minimum dan yakin, kad kredit dapat menyelamatkan anda ketika anda sesak, jawapannya pastilah tidak. Mengapakah saya berkata demikian?
13. Baiklah tuan-tuan. Apakah tujuan anda memiliki kad kredit? Jika anda percaya bahawa kad kredit merupakan lambang status yang hebat, anda tersilap. Saya tidak pernah melihat sesiapa pun mengatakan saya berstatus tinggi apabila saya menunjukkan kad kredit saya! Bukankah kita sedang meminjam wang dari bank!
14. Nampaknya, anda sudah terpengaruh dengan iklan!
15. Kad kredit menjadi penting apabila keadaan terdesak (seperti yang sering diuar-uarkan orang) bukan menunjukkan lambang status, tetapi menunjukkan anda tidak bijak berbelanja. Jikalau anda menjadikan kad kredit sebagai alat untuk menyelamatkan anda ketika sesak, jelas sekali bahawa anda tidak merancang kewangan anda dengan baik. Tok guru, langit tidak selalunya cerah!
16. Bijak betul anda berhujah! Ya, langit memang tidak selalunya cerah, sebab itulah anda perlu mewujudkan akaun yang sesuai dinamakan sebagai akaun Langit Tidak Selalunya Cerah! Cuba anda bertanya di kaunter bank, ada tak akaun itu! Jikalau ada, hubungi saya segera di talian 012-7645831!
17. Memang kad kredit boleh menjadi alat yang penting dan banyak gunanya, tetapi alat inilah juga yang begitu senang memerangkap kita dan menyebabkan kita menjadi lebih cepat botak! Mengapa tok guru? Nampaknya, anda tidak sabar-sabar hendak bertanya.
18. Kerana urus niaga atau transaksi kad kredit tidak menggunakan wang tunai. Oleh sebab itu, keadaan ini akan mendorong kita untuk berbelanja dengan lebih banyak berbanding dengan wang tunai. Transaksi begini menyebabkan kita berasa kita tidak mengeluarkan wang, walaupun wang sedang melayang dari poket kita dengan gembiranya menuju ke bank! Selamat tinggal kawanku!
19. Tuan-tuan, jangan ingat bahawa wang yang anda belanjakan itu, katakanlah RM100.00 sahaja yang terbang melayang. Sebab itulah kita melihat bangunan bank tinggi dan hebat kerana kitalah pembiayanya! Mereka mengenakan caj atau kadar faedah, tuan-tuan!
20. Biasanya, faedah atau caj sebanyak 1.5% sebulan atau 18% peratus setahun dikenakan! Percaya atau tidak, mungkin lebih daripada itu! Apa lagi pinjaman (kad kredit itu termasuk dalam kategori pinjaman) yang mengenakan caj yang amat tinggi selain kad kredit! Bank Rakyat pun tidak mengenakan caj setinggi itu! Jangan sebut Ah Long, tuan-tuan kerana saya tidak berhasrat untuk membandingkan hal ini dengan Ah Long!
21. Dan satu lagi, jika anda pemegang kad kredit dan sering cuai untuk membayar bil secara tepat dan hanya bayar jumlah minimum, saya percaya andalah pelanggan bank itu yang paling disayangi! Selamat datang ke dunia hutang, wahai intan payung! Kami amat menyanjungi anda dan percaya andalah pelanggan kami yang setia kerana hutang kad kredit tak habis-habis bayar lagi! Mahukah anda menjadi ahli kelab baru kami, Kelab Hamba Bank! Pengerusinya belum dilantik lagi kerana terlalu banyak pilihan dan calon! Naikkan poster sekarang!
22. Jika anda berada dalam golongan seperti yang saya nyatakan, elok atau baik sahaja anda membatalkan kad atau jika belum ada kad kredit, tidak payahlah memohon. Saya bukannya mendengkikan anda kerana saya tidak mendapat sesen pun daripada pendapat ini!
23. Saya lebih percaya bahawa jika anda belum waras untuk menguruskan wang secara bijak dan berhemah, lebih baik anda gunakan wang tunai. Tok guru, susahlah guna wang tunai! Saya perlu membawa wang yang banyak jika hendak berbelanja. Saya menjadi masalah jika hendak ke Indonesia dan Singapura tanpa kad kredit.
24. Eh, kawan-kawan! Panglima Awang yang mengelilingi dunia pun tak ada kad kredit! Apa yang susahnya sangat!
25. Sebenarnya tuan-tuan, saya tidak mengatakan bahawa tuan-tuan tidak perlu memiliki kad kredit. Saya menegaskan bahawa jika tuan-tuan tidak bijak berbelanja, janganlah terhegeh-hegeh hendak menggunakan kad kredit. Haa…baru saya teringat, bukankah tadi tuan-tuan mengatakan bahawa Langit Tidak Selalunya Cerah! Sekarang, waktu berbelanja memang seronok (sebab itulah isteri saya pantang melihat saya duduk beristirahat di rumah!) tetapi waktu membayar bil kad kredit selepas itu yang tidak seronok! Melilau nak cari duit!
26. Kepada yang telah mempunyai kad kredit atau berhasrat untuk memohon kad kredit, anda haruslah sedar tentang tiga asas ini; (1) membeli seolah-olah kita menggunakan wang tunai. (2) membayar bil sepenuhnya sebelum tarikh matang, dan (3) mengelakkan diri daripada kemudahan pendahuluan tunai (cajnya sangat tinggi, minimum RM50.00!)
27. Jika tiga asas ini diikuti, ditambah pula dengan anda seorang yang bijak dan tampan (seperti saya!), saya percaya bahawa anda boleh menggunakan kad kredit. Tidak ada salahnya memiliki kad kredit. Mengapakah kemudahan itu disalahtafsirkan!
28. Namun begitu, saya sering melihat ramai antara kita memiliki lebih daripada satu kad kredit. Saya tertanta-tanya juga sebabnya. Dan saya percaya tidak ada sebab yang utama selain ingin menunjuk-nunjuk ataupun dia memang kaki hutang yang tak mahu bayar!
29. Eh, tuan-tuan marah apabila saya berkata begitu! Boleh beritahu saya kad kredit bank manakah yang tidak diterima di mana-mana tempat! Selagi ada tanda atau lambang Mastercard atau Visa atau Diners Club atau American Express, saya percaya bahawa di situ kad kita akan berfungsi. Sama juga dengan logo Bankcard untuk ATM. Jikalau tak dapat dilakukan urus niaga, sila hubungi bank dengan segera kerana sudah pasti transaksi anda ditahan sebab belum bayar bil bulan itu lagi!
30. Tuan-tuan, jikalau kad A tidak diterima di suatu tempat, apakah jaminan kad B akan diterima?
31. Oleh sebab itulah, gunakan satu kad kredit sudah cukup. Kalau melebihi satu, saya percaya anda berkemungkinan akan berbelanja lebih daripada yang biasa. Dan saya juga percaya, lagi cepatlah anda dipilih sebagai pengerusi Kelab Hamba Bank!
32. Ada pendapat yang mengatakan bahawa membeli secara kredit (salah satunya dengan cara kad kredit) akan memastikan kita mendapatkan barang yang kita tidak mampu beli secara tunai, dan lebih bermutu tinggi atau barangan yang mahal. Saya tidak bersetuju tentang pendapat ini kerana jikalau anda tidak mampu membelinya secara tunai, mengapakah kita perlu berhutang dengan menggunakan kad kredit? Cara yang mudah ialah jangan membelinya! Tidak ada gunanya membeli dan memiliki sesuatu yang kita tidak mampu. Tuan-tuan, saya mengidamkan kereta Evo sudah lama (terpendam dalam hati), tetapi adakah saya perlu berhutang untuk membelinya? Adakah semua kehendak saya perlu dipenuhi? Ada perkara yang kita ingin miliki, tetapi tidak dapat menjadi tuannya! Itu hakikat dalam kehidupan ini!
33. Berbalik kepada isu kad kredit, saya rasa penerangan malam ini agak panjang. Bukan nak lepas geram, tetapi ada banyak perkara penting yang ingin dikongsi. Mungkin isu selepas ini, jikalau perlu, saya akan mengupas lebih mendalam tentang kad kredit lagi. Akan ada bahagian kedua nanti.
34. Sebelum saya terlupa, saya percaya saya perlu beritahu saudara tentang suatu perkara.
35. Sebelum ini, adakah saudara tertekan kerana tidak memiliki kad kredit? Maksud saya, mungkin selepas habis belajar dan baru bekerja, atau masa-masa lampau, ketika belum memiliki kad kredit lagi, adakah saudara rasa tertekan dengan bebanan kewangan? Saya rasa mungkin tidak begitu tertekan atau tidak sama sekali. Cuba tanya bapak ketua kampung anda!
36. Tetapi, selepas memiliki kad kredit, saya percaya bebanan kewangan semakin bertambah. Salah satu sebabnya ialah kita perlu membayar bil setiap bulan dan kita termasuk dalam golongan penghutang! Mungkin dalam banyak kes, kad kredit banyak membantu, tetapi dalam banyak kes juga, pening kepala datang meronta-ronta kerana bil setiap bulan perlu dijelaskan. Apatah lagi, kita telah menggunakan kesemua had kredit yang ada! Tinggal hutangnya sahaja belum langsai. Sudah pasti, bank akan lebih menyayangi kita!
37. Sebenarnya, selain kad kredit, ada alat lain yang boleh kita manfaatkan, iaitu kad debit. Kad debit sangat berkesan untuk mengawal perbelanjaan. Dan yang lebih menarik, kad debit tidak dikenakan caj atau yuran tahunan!
38. Saya akan berbincang tentang hal ini selepas ini kerana jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi! Saya berharap agar anda faham kenapa saya memilih tajuk ini. Jikalau anda bijak merancang kewangan, kad kredit mampu membawa anda ke hujung dunia tanpa masalah. Dan jika anda tidak bijak mengawal dan menguruskan kad kredit, saya percaya anda sedang diseret ke hujung pedang! Bersedialah untuk dipancung! Ingat, satu-satunya pihak yang tidak banyak memiliki perasaan kasihan ialah bank!
39. Saya menggunakan kad kredit dan saya juga menggunakan kad debit. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa ada pro dan kontra bagi kedua-duanya. Namun, kad debit ternyata mampu menyelesaikan masalah ini.
40. Kita jumpa lagi, dan saya menunggu komen daripada rakan-rakan blog. Saya akan menjawab komen itu dalam bahan bicara seterusnya, iaitu tentang KAD KREDIT VS KAD DEBIT. Terus layan!

6 comments:

Anonymous said...

Eeeemmm....saya mempunyai 5 kad kredit! Tapi...saya tak pernah (belum) menggunakannya. Mungkin belum terdesak atau belum tiba masanya. Namun, saya terfikir...adakah baiknya jika kelima-limanya saya terminate! Dan kini baru saya terfikir, betapa mudahnya pihak bank mempengaruhi saya mengambil kad kredit. Esok hari Isnin...bank pasti buka. Esok juga saya menjejakkan kaki ke kelima-lima bank tsb untuk terminate kad kredit! Pasti!

Mujurlah saya membaca blog ini hari ini...jika tidak, mungkin akan bertambah lagi kad kredit saya thn ini. Aaahh...memberatkan purse sahaja!!!

Teeeerimaaaaa kaaaasih, cikgu!

Anonymous said...

Tuan Azhar,

a. Saya bukannya RAR tetapi seperti yang dimaklumkan sebelum ini... saya ulang saya'INSAN KECIL BIASA YANG SEDAR DIRI TENTANG UPAYA KEWANGAN DIRI YANG ADA'.

b. Setelah lama menunggu sehingga saya tak lena tidur semalam (kerana Chelsea tewas agak besar kpd Man U, apalah Chelsea ni kecewakan aku bersama 2 anak lelakiku!), akhirnya tulisan Tuan Azhar menggembirakan saya. Tahniah Tuan Azhar.

c. Saya tak dapat tumpukan bacaan saya tentang entri tuan ini, kacau dan gelora jiwa ini (kerana masih terbayang bagaimana mudahnya Chelsea kalah melalui gol Vidic, Rooney dan Berbatov itu...). Mungkin saya perlu membaca secara lebih mendalam lagi entri tuan ini untuk lebih memahaminya dan melekat dalam minda...!

Sekian.

INSAN KECIL BIASA YANG SEDAR DIRI TENTANG UPAYA KEWANGAN DIRI YANG ADA.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam kanda azhar,
yep, ren setuju! yang penting, pengguna kad kredit perlu bijak menggunakan. utamakan yang utama. tak begitu, kanda?

ren.

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Mohon maaf kerana tulisan ini tidak mengatakan bahawa Azura perlu membatalkan kesemua kad kredit yang dimiliki. Yang saya maksudkan ialah satu kad kredit sudah mencukupi. Apabila Azura menyatakan bahawa kelima-lima kad tersebut belum digunakan, saya percaya bahawa pandangan saya ada asas yang kukuh! Nasihat saya, batalkan empat kad dan gunakan satu kad. Itu sudah cukup kerana tidak semua perkara ada keburukan. Pasti ada kebaikannya juga. Termasuk juga kad kredit.

Salam 'INSAN KECIL BIASA YANG SEDAR DIRI TENTANG UPAYA KEWANGAN DIRI YANG ADA',
Maaf kerana menyangka anda RAR. Untuk makluman saudara, RAR ialah pengunjung setia WITRA. Walaupun anda tidak mendedahkan diri anda lagi kepada saya, tidak mengapa kerana saya percaya anda ada rasionalnya. Harap-harap anda akan TERUS LAYAN! Saya masih belum menjawab persoalan anda tentang koperasi. Insya-Allah, dalam makluman saya kerana subjek tersebut akan saya sentuh sedikit masa lagi. Harap-harap penerangan saya tentang kad kredit ini mampu memberikan sedikit sebanyak info yang bermanfaat. Harap-harap tulisan tentang kad kredit ini telah menjawab persoalan anda. TERUS LAYAN!

Salam DINDA WAHYU,
Jikalau dinda Wahyu bersetuju dengan pandangan saya, saya ucapkan terima kasih. Ya, memang benar dinda Wahyu, kita mestilah belajar untuk mengutamakan yang utama. Cuba dinda Wahyu baca buku Utamakan yang Utama (Stephen R.Covey). Agak menarik kandungan buku tersebut. Satu lagi, teruskan perjuangan dinda Wahyu dalam bidang penulisan. Langit yang cerah seolah-olah sentiasa menunggu tulisan-tulisan mantap bdan segar daripada seorang sasterawan muda yang hebat yang bernama WAHYU BUDIWA RENDRA! TERUS LAYAN!

Anonymous said...

Alamak cikgu...dah selamatttt daahhh kelima-limannyaa...Sadaqallahhhulaziimm...

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Apa? Dah selamat kesemuanya! Tak apa, bukanlah suatu perkara yang sukar untuk memohon semula selagi nama tidak blacklist. Dan satu lagi, jika sudah keberatan untuk menggunakan kad kredit, apa kata cuba turun sekejap ke Maybank di bawah DBP tu, dan buka akaun, dan terus mohon kad debit. Rasa-rasanya, kad debit mungkin mampu menyelesaikan masalah ini. Saya akan tulis dalam masa sehari dua ini tentang kad debit. Terus layan!