Thursday, January 22, 2009

PPSMI: BACALAH PANDANGAN JUAK-JUAK YANG SOMBONG, ANGKUH DAN BIADAP!

PPSMI – Antara yang emosional dan rasional
Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
(dipetik daripada akhbar sisipan Utusan Malaysia)

Emosional. Itu persepsi sesetengah pihak bila melihat cara dan mendengar hujah pihak tertentu yang menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semasa Persidangan Meja Bulat PPSMI kelima.

Sebenarnya tidak perlu mengutarakan hujah dengan nada suara yang keras, mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ugutan. Saya memuji wakil Parent Action Group For Education (PAGE) yang mengemukakan hujah dengan tenang. Yang penting bukan nada suara yang keras, tetapi hujah yang disokong fakta yang kukuh.

Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tujuan siri persidangan meja bulat diadakan adalah untuk menyediakan seluas-luas platform untuk semua pihak mengemukakan pandangan dan bukan untuk membuat sebarang resolusi. Jadi tidak perlu kita membentak-bentak dan memaksa-maksa pandangan kita terhadap peserta lain. Tidak perlu menipu dan tidak perlu menuduh dengan tuduhan yang direka-reka.

Seorang profesor, misalnya, mengatakan bahawa PPSMI tidak memberikan sebarang kesan positif terhadap pencapaian pelajar selepas enam tahun pelaksanaannya sedangkan sewaktu beliau berhujah demikian, tiada sebarang kajian atau data yang dirujuk. Rasionalkah beliau?
Bagi saya, kenyataan itu lahir akibat beliau terbawa-bawa oleh emosi. Dari segi logik dan kebiasaan, semakin terdedah seseorang kepada sesuatu, maka semakin mudah seseorang menguasainya. Tidak mungkin kenyataan ini keluar jika beliau merujuk kepada fakta.

Dari segi fakta, pembentangan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd Dom mengenai analisis UPSR menunjukkan bahawa masa dedahan yang lebih terhadap bahasa Inggeris (BI) menyebabkan pertamanya, tahap keyakinan pelajar untuk menjawab soalan dalam BI semakin meningkat; keduanya, pencapaian pelajar dalam mata pelajaran BI juga meningkat.

Seorang bekas pegawai KPM pula menuduh seolah-olah KPM memanipulasi keputusan UPSR dan menurut cerita pihak tertentu beliau juga turut mengatakan bahawa “dahulu kita juga membuat perkara yang sama.” Hakikatnya bukan mudah untuk memanipulasi keputusan peperiksaan awam kerana standardnya turut ditentukan oleh pihak luar dan jika sebarang pengubahan dibuat, ia bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan pelajar tahun tersebut, malah beberapa tahun yang akan datang.

Rasionalnya; beliau tahu realiti ini dan beliau tahu tidak mudah melakukannya. Malangnya beliau terperangkap dengan emosi untuk menentang dasar PPSMI sehingga sanggup menuduh yang bukan-bukan.

Bagi saya, jika suatu masa dulu, sebagai pegawai KPM beliau gagal berpegang kepada integriti, kenapa sekarang kita perlu menyakini integriti beliau dalam membentangkan sebarang kajian? Tidakkah ada kemungkinan beliau memanipulasi data semata-mata untuk menyokong pendirian beliau?

Satu lagi tindakan yang boleh dianggap emosional adalah apabila sebuah organisasi yang kononnya mewakili sekitar 350,000 orang guru, mendakwa bahawa guru sebulat suara menolak PPSMI. Kenyataan ini disangkal keesokan harinya oleh kesatuan guru yang lain, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Lebih memalukan bukan sahaja kenyataan majlis tersebut dipersoalkan malah mandat bahawa ia benar-benar mewakili golongan guru dan statusnya turut dipertikaikan.

Apabila ada pihak berhujah bahawa subjek sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda untuk memastikan anak-anak kita berjaya menguasai subjek tersebut dengan lebih baik, adakah hujah ini rasional?

Sedangkan kita menyedari sebelum adanya PPSMI, di sekolah kebangsaan (SK) ramai anak-anak etnik bumiputera selain Melayu dan kaum bukan Melayu yang mempelajari kedua-dua subjek ini dan subjek-subjek lain di dalam bahasa kebangsaan; bukan bahasa ibunda mereka, tetapi mereka masih dapat menguasainya dengan cemerlang?

Adakah kita lupa bahawa subjek seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun dan Perdagangan diajar dalam bahasa kebangsaan, tetapi masih ada anak-anak kita yang gagal dan gagal menguasai subjek-subjek ini.

Bukankah anak-anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga ada yang cemerlang walaupun dipaksa mempelajari semua subjek kecuali Bahasa Melayu di dalam bahasa Mandarin. Rasionalkah? Sedangkan ada pihak yang berhujah bahawa Mandarin bukan bahasa ibunda orang Cina?

Rasionalkah juga apabila ada yang mahu mengusung keranda bagi memprotes PPSMI. Benarkah bahasa Melayu akan terkubur jika PPSMI diteruskan?
Rasionalnya, masih banyak mata pelajaran diajar dalam bahasa kebangsaan. Ia tidak akan terkubur. Ia mungkin menjejaskan sedikit sebanyak pembangunan bahasa kebangsaan dalam bidang Sains dan Teknologi, tapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh mencari jalan untuk mengurangkan kesannya.

Lagi pula komitmen kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dipersoalkan. Kerajaan tidak mengubah medium di sekolah kebangsaan. Bahasa Melayu masih merupakan subjek yang wajib bukan sahaja di sekolah-sekolah kerajaan, malah sekolah swasta dan antarabangsa. Majlis rasmi dan aktiviti kokurikulum terus dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan. Malah di KPM, usaha untuk memartabatkan kegiatan kebahasaan lebih banyak dilaksana dan dianjurkan berbanding jumlah kegiatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang mahu mengusung keranda tersebut!

Apa yang dikesalkan, ada pihak, terutama yang masih muda, tidak benar-benar tahu kenapa mereka perlu mengusung keranda. Saya pernah bertemu dan berbincang dengan sekumpulan anak muda yang begitu bersemangat menentang PPSMI atas dasar memperjuangkan bahasa. Malangnya apabila ditanya sama ada mereka tahu apa yang berlaku dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan di sepanjang tempoh 20 tahun ini, mereka hanya terpinga-pinga. Ada yang tidak tahu pun apa Dasar Buku Negara dan tidak pernah membaca mengenainya.

Lebih menghairankan, ada yang beriya-iya berjuang mempertahankan bahasa tetapi tidak pula mengambil endah dan menganggap jijik perjuangan mempertahankan bangsa. Apa guna perjuangan bahasa, jika sudah tiada tempat untuk perjuangan bangsa! Ikhlaskah mereka?

Tun Faisal Ismail Aziz
tunfaisal@yahoo.com

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

1. Walaupun saya kini agak terbatas sedikit untuk melihat terutamanya cahaya-cahaya yang amat terang... termasuklah melihat skrin komputer, dan menulis@menaip kerana masih 'berpantang besar dan kecil' setelah pulang dari 'tempat itu', namun "WITRA tetap menjadi pujaan hatiku".

2. Bagus dan amat bermakna cikgu siarkan artikel ini 'yang menyokong PPSMI dan mengkritik penentang-penentang PPSMI' kerana kita sama-sama boleh lihat MINDA DAN PEMIKIRAN GOLONGAN INI BERHUJAH... ya kita boleh nilai sendiri bagaimana beliau Sang Penulis bernama Tun ini tulis dan fikir..!

3. Biarkan Sang Penulis ini menulis dan berhujah, ya negara kita amalkan demokrasi... tetapi kita dapat nilai hujahnya itu...!

4. Seperti juga kita yang bebas nyatakan pendapat tentang perlunya ditolak PPSMI kerana kita demokrasi... APATAH LAGI SOAL BAHASA MELAYU DALAM PERKARA 152 PERLEMBAGAAN MALAYSIA INI MERUPAKAN HAL YANG AMAT JELAS TENTANG LETAK DUDUK BAHASA MELAYU.

5. Perlu ingat...! buat Sang Penulis bernama Tun itu bahawa PERKARA 152 PERLEMBAGAAN MALAYSIA INI MERUPAKAN HAL YANG AMAT JELAS TENTANG LETAK DUDUK BAHASA MELAYU, perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara Malaysia. Anda Sang Penulis bernama Tun kena kuasai banyakkk hal tentang Perlembagaan ya...

Sekian.

rar/

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kaseehhh...pasai terus layan WITRA walaupun masih berpantang. Harap-harap cepatlah baik dan kembali ke DBPWS utk bertugas. Saya ghasa kita perlu jugak baca dan nilai sendiri hujah juak-juak yang sokong PPSMI ni. Baghu kita tau depa punya idea. Tapi takat apa yang dia tulih, bukan nak cakap besaq, bukan susah sangat nak lawan balik! Geng-geng macam depa ni dah melampau. Grammar pun kelam-kabut, tu pun nak ngaku yang depa baguih cakap oghang puteh. Yang saya heran, Datuk Seri Utama Rais Yatim yg memang dah terbukti terer bukan main cakap oghang puteh, tak berlagak macam puak-puak ni pun! Takpa, tengoklah sari dua lagi, saya akan balaih hujah depa! Hangpa tunggu sat...saya nak lawan balik pakai fakta...terus layannnnn....!