Saturday, January 31, 2009

PPSMI: GERAKAN ANTI-PPSMI JULUNG KALI KE JALAN



Jimadie Shah Othman Jan 31, 09 8:40pm (Sumber: Malaysiakini)



Kempen memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) meningkatkan tahap bantahannya hari ini dengan melangkah ke tahap baru - berhimpun di jalan raya.Perhimpunan julung-julung kali itu dilancarkan petang ini di perkarangan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - simbol lazim siri bantahan era reformasi 1998.
Bagaimanapun, hasrat penganjurnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) untuk mengumpulkan 500 pencinta bahasa tidak tercapai walaupun kelibat beberapa tokoh terkenal bahasa dan sastera dalam program itu menyelamatkan keadaan. Program itu hanya dikerumuni kira-kira seratus orang yang lalu-lalang bagi membeli-belah di kompleks popular itu. Perhimpunan itu bermula dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak jam 1 tengah hari lagi.

Bagaimanapun ia berakhir tanpa sebarang masalah dengan polis, walaupun permohonan permit berhimpun tidak dibuat. Malaysiakini difahamkan penganjur hanya memaklumkan secara bertulis kepada polis berhubung program berkenaan.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang sebelum ini berteka-teki tentang kehadiran beliau akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu. Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar sambil memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan. Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater Khalid Salleh turut hadir.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas acara pelancaran itu, Khalid berkata hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan bantahan mereka kerana keadaan "sudah terdesak sangat". Tambahnya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis. Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".
Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah ketua penerangan PKR Tian Chua, ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad. Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan. Pengerusi jawatankuasa induk GMP Datuk Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan. Tindakan itu menyebabkan sebahagian daripada kira-kira 30 yang hadir terlepas sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas pelancaran itu.

Program yang kelihatan tidak tersusun itu menyebabkan orang ramai yang hadir terpinga-pinga dan tidak terarah, termasuk wartawan yang berkeliaran mendapat komen daripada beberapa tokoh yang hadir. Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan. Kumpulan tokoh bahasa dan sastera itu kemudiannya hanya duduk di sebuah restoran di hadapan kompleks berkenaan. Orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang.
Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

3 comments:

Anonymous said...

Cikgu,

1. Dalam Buletin Utama TV3 (dalam pukul 8.25 malam - 31/01/09) memaparkan tajuk bahawa "PERHIMPUNAN TAK DAPAT SAMBUTAN" . Dalam berita itu dilaporkan hanya 30 orang sahaja yang hadir di hadapan Kompleks SOGO, Jalan TAR, K.L. Juga disiarkan kenyataan Datuk Hassan Ahmad, Pengerusi GMP yang dipetik bahawa 'beliau kecewa atas tafsiran silap golongan tertentu yang menyatakan bahawa GMP adalah anti bahasa Inggeris...'.

2. Bagi saya laporan berita di atas merupakan PROVOKASI atau SENTIMEN untuk menggambarkan bahawa GMP gagal..? tetapi ingat rakyat kini tidak mudah untuk diperbodoh-bodohkan..., ya... rakyat sudah arif dan sudah terbiasa tentang laporan-laporan sebegini... mungkin laporan sebegini untuk 'melunakkan dan membahagiakan' beberapa pemimpin yang menyokong PPSMI..., tidak mengapa dan biarkan berita sebegini membahagiakan puak-puak ini..., namun GMP HARUS TERUS BERGERAK DAN ADA BEBERAPA LANGKAH YANG BELUM DILAKSANAKAN..! Sama-sama kita doakan kerana ada pelbagai lagi langkah untuk bergerak...

3. Sehingga saya menulis ini (pukul 12.20 tengah malam - 1/2/09), saya masih memantau sumber-sumber berita lain dalam internet, serta cuba hubungi rakan yang hadir ke SOGO petang tadi... kerana kita perlu mendapat pelbagai sumber berita sama ada prokerajaan atau bukan...

Sekian cikgu, selamat tengah malam.

rar/

Anonymous said...

Cikgu, di bawah ini disertakan satu berita terbaharu tentang SN, sama-sama kita baca. Terima kasih.

rar/

SASTERAWAN NEGARA DI MARKAZ TARBIAH MELEWAR: SATU SEJARAH
Dilulus terbit pada Monday, February 02 @ 10:15:36 MYT oleh alghaib


Oleh Ustaz Haji Idris bin Ahmad

Sejarah bagi Markaz Tarbiah Taman Melewar kerana 1hb Feb 2009 Ahad malam Isnin telah dikunjungi oleh Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said. Beliau hadir bersama dengan Jawatankuasa Bertindak Masukhkan Pengajaran dan Pembelajaran Metematik dan Sains dalam bahasa Inggeris anjuran Badan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan.


Turut berceramah pada malam itu ialah Tuan Haji Mohd Sabu (Naib Presiden Pas), Hanifa Maidin (Ajk Pas Pusat), Tuan Haji Mohd Nor Mohammad (Pesuruhjaya WP), Prof Dr Shahrir Mohd Zin (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masukhkan Pengajaran dan Pembelajaran Metematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris), Prof Dr Abdullah Hassan (UPSI) dan saya sebagai pengerusi majlis.




Sejarah juga pada malam itu kehadiran orang melimpah keluar dewan Markaz tarbiah, kerana kebiasaannya kalau ceramah yang bersifat akademik seperti begini kehadiran hanya dalam lingkungan 200 orang sahaja. Ini satu perkembangan yang baru dalam politik Malaysia yang sudah mula sedar dan semangat untuk tolak BN masih membara.

Inilah pertama kali saya dapat bertemu dengan beliau secara dekat, selama ini saya hanya membaca karangan beliau sahaja sewaktu di alam persekolahan dalam pelajaran sastera. Betapa sayu malam itu beliau turut mendeklamasikan sajak “Aku seorang tua”. Isinya amat menyayatkan hati bagaimana bahayanya satu bangsa dan negara apabila bahasa ibunda di ketepikan.



Daripada hujah tokoh-tokoh akademik yang hebat pada malam itu dengan fakta dan kajian, memang wajib kerajaan kena ubah dasar ini kepada bahasa ibunda.

Kenapa pemimpin kerajaan pekak badak sampai tidak mahu dengar rayuan dan bantahan daripada golongan ini. Kalau pihak pembangkang bantah adalah munasahabah kerajaan tidak mahu terima. Sedangkan ini adalah suara hati daripada mereka yang kebanyakan tidak berpolitik dan tahu tentang bahayanya dasar ini.



Rujuklah semula dasar ini tanpa takut kepada bayang Tun Dr Mahathir, dia bukan ada kuasa lagi. Kalau dasar ini dibuat dengan tergesa-gesa tanpa kajian kenapa sekarang kerajaan tidak berani kembali kepada bahasa ibunda dengan segera setelah kajian dan pandangan yang diluahkan oleh golongan cerdik pandai ini. Ini perlu ada keberanian macam Tun Dr Mahathir yang berani buat walaupun ada tentangan.



Kita tahu bahawa dasar yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian, ia hanya dibincang dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno sahaja. Mereka yang zero IQ inilah yang meluluskan dasar yang mengorbankan pendidikan anak-anak kita pada masa depan. Sedangkan waktu kerajaan hendak melaksanakan sepenuhnya bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Universiti pada tahun 1984 dibuat dengan kajian yang lama. Kenapa apabila dasar ini hendak ditukar ia dibuat seperti masak mee maggi sahaja.



Pastinya projek ini hanya untuk mengkayakan kroni kerana telah memakan duit rakyat sebanyak 2.1B untuk ICT sahaja. Siapa yang bolot projek ini, tepuk dada tanya Tun Dr Mahathir.



Perlu ditegaskan bahawa jawatankuasa ini bukan menentang bahasa Inggeris, yang ditentang ialah Metematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris.

Kalau golongan sasterawan negara dan tokoh akademik sudah beranai turun ke padang bersama rakayat untuk menentang dasar ini, maka ini adalah satu perkembangan yang cukup baik. Maka satu perubahan lanskap politik negara akan berubah dan mempercepatkan kita menghantar UMNO/BN ke sakaratul maut.



Maka Pas yang daripada dulu lagi kita menentang dasar ini akan membantu 200 peratus jawatankuasa ini. Ayuh jangan lupa kita turun ke himpunan 100 ribu pada 7hb Mac 2009 untuk menghantar memo kepada Yang Dipertuan Agong sebagai payung rakyat. Kita berjanji kalau Pakatan Rakyat diberikan mandat maka kita akan ubah balik dasar ini selepas PRU 13 insyaAllah.

* Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sessi 2007-2009

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Artikel yang dilampirkan telah dimuatnaikkan ke WITRA. Terima kasih. Jika ada artikel yang berkaitan dan relevan, silalah berbuat demikian lagi kerana sumbangan anda (dan pengunjung blog) amat diperlukan dan dihargai. Terima kasih.